Sunway tawar hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM500,000 sempena Jelajah Mega Jubli Emas | DagangNews Skip to main content

Sunway tawar hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM500,000 sempena Jelajah Mega Jubli Emas

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Sunway menganjurkan Jelajah Mega Jubli Emas sempena ulang tahun ke-50 kumpulan itu yang menawarkan hiburan keluarga dan hadiah menarik bermula dari 21 Februari hingga 10 Mac 2024 di empat negeri, termasuk Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor.

 

Kumpulan itu berkata, penganjuran Jelajah Mega Jubli Emas Sunway 2024 bertujuan memperingati selama lima dekad komitmen terhadap kecemerlangan, kemampanan dan inovasi sebagai konglomerat terkemuka di Asia Tenggara.

 

"Orang ramai berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah setiap hari bernilai lebih RM500,000 secara keseluruhan, selain pengunjung boleh mendapat tawaran sekali seumur hidup taman tema Sunway, hospitaliti, pusat beli-belah Sunway dan banyak lagi, di samping dihiburkan dengan persembahan, pertunjukan fesyen, permainan dan aktiviti.

 

"Tawaran hebat itu juga boleh diakses melalui Sunway Super App di Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pelaburan Digital & Strategik Sunway Group, Evan Cheah berkata, pihaknya memulakan perniagaan yang berbeza bukan hanya untuk keuntungan, tetapi untuk memenuhi keperluan orang ramai. 

 

"Sepanjang 50 tahun yang lalu, kami telah menyentuh kehidupan ramai orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan akan terus berinovasi untuk generasi akan datang," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, sepanjang Ramadan, Sunway bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk rakan kongsi jangka panjangnya Yayasan AIDS Malaysia, untuk membawa inisiatif keceriaan perayaan 'Sinar Ramadan' kepada masyarakat yang kurang mendapat layanan di seluruh Malaysia.

 

 

sunway

 

 

Pada Julai 2024 katanya, 'Sunway The Good Run' akan kembali dan mengalu-alukan lebih 10,000 pelari dalam acara larian dan pengumpulan dana yang mana semua hasil daripada tiga kategori larian 5 kilometer (km), 10km dan 20km itu diagihkan kepada 50 rumah kebajikan di seluruh negara.

 

Katanya, Sunway juga berjanji mengagihkan lebih 500,000 makanan pada acara 'Pek-a-thon Meal' pada September 2024 untuk komuniti kurang bernasib baik di Malaysia dan luar negara. 

 

"Makanan yang diagihkan itu menambah matlamat keseluruhan Sunway untuk membungkus dua juta makanan menjelang 2024 bagi membantu mengurangkan kelaparan dan menangani keselamatan makanan dalam kalangan masyarakat Orang Asli, rumah anak yatim, rumah warga emas dan komuniti B40 di rantau ini," katanya.

 

Sementara itu, Jelajah Mega Jubli Emas Sunway 2024 akan berlangsung di Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 21 hingga 25 Februari 2024, manakala di AEON Mall Kinta City, Ipoh, Perak pada 22 hingga 25 Februari 2024.

 

Selain itu, ia turut diadakan di Sunway Pyramid, Kuala Lumpur bermula 29 Februari hingga 3 Mac 2024 dan Sunway Big Box Retail Park, Sunway City Iskandar Puteri, Johor pada 5 hingga 10 Mac 2024. - DagangNews.com