Superlon catat untung bersih RM3.9 juta pada 3QFY24 didorong jualan lebih tinggi dalam segmen pembuatan | DagangNews Skip to main content

Superlon catat untung bersih RM3.9 juta pada 3QFY24 didorong jualan lebih tinggi dalam segmen pembuatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - Untung bersih Superlon Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2024 (3QFY24) meningkat kepada RM3.9 juta berbanding RM619,000 pada tahun sebelumnya didorong jualan yang lebih tinggi untuk segmen pembuatan.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan hasil sebanyak RM30.4 juta bagi suku berkenaan, peningkatan sebanyak 18.8% berbanding RM25.6 juta yang dicatatkan pada 3QFY23.

 

Superlon juga mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM9.9 juta bagi tempoh sembila bulan berakhir 31 Januari 2024 (9MFY24) berbanding RM1.7 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong peningkatan hasil sebanyak RM87.3 juta daripada RM84 juta pada 9MFY23.

 

Katanya, bahagian pembuatan mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM24.6 juta atau peningkatan sebanyak 37.4% berbanding RM17.9 juta pada tahun sebelumnya.

 

"Hasil yang lebih tinggi daripada bahagian pembuatan didorong permintaan yang lebih tinggi untuk produk penebat kami daripada pasaran eksport dan domestik yang disokong oleh persekitaran tukaran mata wang asing yang menggalakkan.

 

"Bahagian dagangan mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM5.9 juta berbanding RM7.7 juta pada 3QFY23," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, persekitaran operasi mereka dijangka bertambah baik dengan permintaan yang lebih kukuh dalam pasaran utama dan harga bahan mentah yang agak rendah.

 

Katanya, melangkah ke hadapan, permintaan akan dipengaruhi oleh sentimen global dan tempatan, kos logistik serta kos bahan mentah.

 

"Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah kekal optimis terhadap prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024" katanya. - DagangNews.com