Superlon miliki prospek pendapatan lebih baik - MIDF | DagangNews Skip to main content

Superlon miliki prospek pendapatan lebih baik - MIDF

Superlon Holdings Berhad (Superlon)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mac. - Syarikat penyedia bahan binaan, Superlon Holdings Berhad (Superlon) dijangka meraih pertumbuhan pendapatan yang lebih baik pada masa hadapan.

 

MIDF Research berkata, jangkaan itu dinilai kepada empat faktor yang memberi kelebihan kepada syarikat berkenaan.

 

"Kami meramalkan pertumbuhan pendapatan yang lebih baik untuk Superlon disokong oleh kos operasi yang lebih rendah dan operasi anak syarikat di Vietnam yang lebih baik.

 

"Selain itu, pemulihan dalam landskap ekonomi Malaysia dan penyambungan semula rantaian bekalan global," jelas MIDF Research.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 (9MFY21), Superlon mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM9.17 juta, meningkat 31.7% tahun ke tahun sekali gus melepasi jangkaan MIDF Research.

 

Peningkatan untung bersih tersebut dipacu oleh peningkatan margin keuntungan kasar di samping pengurangan dalam jualan dan pengedaran (S&D) .

 

Bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan 2021, kumpulan tersebut mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak -13.6% tahun ke tahun kepada RM22.86 juta.

 

Penurunan itu disebabkan oleh sumbangan pendapatan yang lebih rendah daripada bahagian pembuatan.

 

Pendapatan bahagian pendapatan menjunam -19.6% tahun ke tahun kepada RM17.5 juta disebabkan oleh penurunan jualan domestik dan eksport.

 

Sementara itu, bahagian perdagangan pula mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM5.3 juta dengan kenaikan 12.8% tahun ke tahun.

 

Pendapatan yang lebih tinggi itu adalah hasil daripada kenaikan penjualan paip tembaga kepada pelanggan domestik.

 

Bahagian berkenaan menyumbang kira-kira 23.3% kepada jumlah pendapatan keseluruhan kumpulan.

 

Dalam pada itu, MIDF Research turut membuat semakan semula terhadap ramalan pendapatan syarikat berkenaan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022, masing-masing kepada RM13.58 juta dan RM14.06 juta.

 

Semakan itu dibuat setelah melihat hasil semasa yang lebih baik berbanding jangkaan.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' saham Superlon dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.10. - DagangNews.com