Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Supermax Corp. Bhd. menjangkakan prestasi kewangannya akan terjejas sekiranya usaha kumpulan untuk mengalihkan pasaran eksport bagi produk sarung tangan getah ke negara lain kurang membuahkan hasil.
Malah, syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini juga menjelaskan tempoh perintah sekatan pelepasan (WRO) yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) ke atasnya dan anak-anak syarikat menjadi penentu sejauh mana kesan buruk terhadap prestasi kewangannya.
"Tetapi, kumpulan tidak melihat sebarang kesan material dari segi operasi," jelasnya.
Kenyataan yang dikeluarkan hari ini merujuk kepada maklumannya di Bursa Malaysia bertarikh 21 Oktober lalu.
Supermax Corp. berkata, WRO akan menjejaskan jualannya ke pasaran AS yang menyumbang kira-kira 20% kepada jumlah jualan kumpulan.
"Bagaimanapun, kumpulan akan mengambil langkah yang perlu yang mengalihkan produknya untuk AS ke pasaran lain, jika boleh," katanya.
Kumpulan juga memaklumkan, wakilnya di AS sedang berurusan dengan pihak CBP bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung WRO yang dikenakan ke atas produk keluarannya serta langkah-langkah susulan.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa ia sudah melaksanakan langkah-langkah bagi memenuhi standard ILO yang membabitkan aspek pekerja migran sejak 2019.
Pada 11 Oktober lalu, pengeluar sarung tangan getah itu melantik sebuah firma perunding antarabangsa untuk menjalankan audit ke atas status pekerja asing di kemudahan Supermax Group yang memberi tumpuan ke atas 11 Indikator Buruh Paksa yang ditetapkan oleh ILO.
Baca : Berdepan dakwaan guna buruh paksa, penganalisis semak turun penarafan, pendapatan Supermax
Pada 20 Oktober lalu, CBP mengeluarkan WRO terhadap Supermax Corp. dan anak-anak syarikatnya berdasarkan maklumat yang secara munasabah mengenai dakwaan penggunaan buruh paksa dalam operasi pengeluaran.
CBP berkata, pihaknya mengenal pasti 10 indikator Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) terhadap penggunaan buruh paksa ketika menjalankan siasatan terhadap Supermax Corp.
Disebabkan sekatan tersebut, penganalisis menyemak semula unjuran pendapatan dan penarafan yang lebih rendah bagi tahun kewangan 2022 dan 2023.
Tambahan pula, pengeluar sarung tangan getah kini berdepan dengan penurunan harga purata jualan (ASP) dan pesaing baharu terutama dari China.
Kenanga Research dalam nota kajian sebelum ini berkata, sejauh mana teruknya kesan ke atas pendapatan kumpulan, bergantung kepada betapa cepatnya Supermax Corp. menggantikan kerugian jualan di AS dan berapa tempoh yang akan diambil untuk menyelesaikan isu ini.
Sekatan AS ini juga secara tidak langsung menjejaskan harga sahamnya, apabila buat pertama kali sejak Mei 2020, saham Supermax Corp. jatuh di bawah paras RM2.
Ketika dagangan dibuka pagi tadi, ia susut 11 sen atau 5.42% kepada RM1.92 sesaham.
Setakat 2.50 petang ini, saham Supermax Corp. susut 10 sen atau 4.93% kepada RM1.93 dengan 14.5 juta saham diniagakan. - DagangNews.com