Supermax diramal catat keputusan lebih baik dipacu penurunan kos bahan mentah | DagangNews Skip to main content

Supermax diramal catat keputusan lebih baik dipacu penurunan kos bahan mentah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - RHB Investment meramalkan Supermax Corp Bhd mencatatkan keputusan lebih baik pada suku tahun akan datang dipacu penurunan kos bahan mentah utama berikutan harga nitril yang lebih rendah (4% lebih rendah pada Ogos 2024).

 

Katanya, harga gas asli juga dijangka lebih rendah dari suku tahun ke suku tahun pada suku ketiga 2024 berikutan permintaan global yang meningkat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dinamik permintaan dan bekalan industri terus menunjukkan tanda-tanda pemulihan disokong kitaran pengurangan stok inventori akan berakhir dan meningkatkan keterlihatan pesanan serta kesediaan pelanggan menerima kenaikan harga.

 

"Dengan kapasiti lebihan industri yang beransur-ansur berkurangan, kami menjangkakan industri sarung tangan akan mencapai keseimbangan permintaan-bekalan menjelang separuh kedua 2024..

 

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan permintaan sarung tangan akan terus meningkat pada suku akan datang kerana tahap inventori pelanggan terus berkurangan kerana sebahagiannya menghampiri tarikh luput," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mengalami kerugian bersih suku tahunan terbesarnya sebanyak RM127.93 juta untuk suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY24) kesan penurunan harga inventori anak syarikat luar negara berjumlah RM72.85 juta.

 

Selain itu, terdapat kemerosotan RM27.1 juta daripada kilang dan mesin, peralatan kilang, dan acuan dan alatan di kilang lama yang menghentikan pengeluaran pada suku tersebut, serta cukai tambahan yang dikenakan pada unit pembuatan tertentu bagi tahun sebelumnya berjumlah RM30.8 juta.

 

Perolehan kumpulan itu juga terjejas disebabkan kerugian tukaran mata wangsa asing tidak direalisasi bagi suku tersebut berjumlah RM9.9 juta, peruntukan untuk stok bahan pembungkusan lama dan usang serta inventori sarung tangan yang diturunkan taraf di kilang lama berjumlah RM3.3 juta, dan perbelanjaan pra operasi kilang baharu Amerika Syarikat (AS) berjumlah RM421,223.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.04 sesaham. - DagangNews.com