Supermax diunjur terus berhadapan persekitaran operasi mencabar, lebihan bekalan sarung tangan - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Supermax diunjur terus berhadapan persekitaran operasi mencabar, lebihan bekalan sarung tangan - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Kenanga Research mengunjurkan Supermax Corporation Berhad terus berhadapan persekitaran operasi mencabar pada suku berikutnya, dibelenggu oleh lebihan bekalan sarung tangan getah yang besar.

 

Namun begitu, firma penyelidikan itu menjangkakan situasi lebihan bekalan akan bertambah baik secara berperingkat selepas terdapat tanda-tanda pemain mengurangkan kapasiti pengeluaran melalui penutupan kilang terpilih.

 

Katanya, berdasarkan anggaran, situasi permintaan-bekalan hanya akan kembali seimbang pada 2025 apabila hampir tiada lagi kilang baharu sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan.

 

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengunjurkan pertumbuhan 12% hingga 15% dalam permintaan global untuk sarung tangan getah setiap tahun bermula 2023, berikutan anggaran penguncupan 19% kepada 399 bilion keping pada 2022.

 

"Ia percaya keseimbangan bekalan-permintaan mungkin kembali dalam enam hingga sembilan bulan. Walau bagaimanapun, kami menjangkakan keadaan lebihan kapasiti akan berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

"Kami mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada 2023, yang selaras dengan ramalan MARGMA. Ini akan menghasilkan lebihan kapasiti sebanyak 112 bilion keping yang serupa pada tahun sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih yang kecil sebanyak RM2.1 juta pada 1QFY24 dan dijangka kembali mencatatkan keuntungan pada suku tahun akan datang didorong kos input yang lebih rendah.

 

Bagaimanapun, prospek sektor ini kekal suram disebabkan oleh lebihan kapasiti yang besar.

 

"Kami menyemak turun saranan kepada 'underperform' berbanding 'market perform' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) dengan harga 85 sen sesaham," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk pertumbuhan semula jadi yang lebih rendah dari segi permintaan global bagi sarung tangan, lebihan bekalan berterusan tanpa penyatuan industri dan peningkatan kos tenaga serta tenaga buruh.- DagangNews.com