Supermax tangguh penyenaraian di Bursa Singapura | DagangNews Skip to main content

Supermax tangguh penyenaraian di Bursa Singapura

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Mei - MIDF Research mendedahkan bahawa syarikat sarung tangan, Supermax Corporation Berhad menangguhkan hasrat kumpulan untuk menyenaraikan ekuitinya di Bursa Singapura (SGX).

 

Penganalisisnya, Ng Bei Shan menjelaskan langkah itu diambil disebabkan keadaan semasa, tanpa mendedahkan faktor yang lebih terperinci.

 

“Idea asal untuk menggunakan saham perbendaharaan bagi penyenaraian kedua itu tidak dapat dilaksanakan buat masa ini.

 

“Kami fikir syarikat sebaliknya akan menggunakan saham perbendaharaan untuk dibayar sebagai dividen kepada pemegang saham. 

 

“Oleh itu, kami juga menjangkakan ada gabungan dividen tunai kerana aliran tunainya yang sihat dan mempunyai wang tunai cukup sebanyak RM3.7 bilion setakat penghujung Mac,” jelas Bei Shan dalam satu nota kajian hari ini. 

 

Penangguhan itu didedahkan oleh pengurusan Supermax kepada MIDF selepas taklimat prestasi kewangan kumpulan baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, Supermax juga menyaksikan harga jualannya menurun pada separuh kedua, namun mereka mempunyai tempahan berkontrak sehingga hujung tahun ini, tambah Bei Shan. 

 

Katanya, Supermax mendedahkan purata harga jualan (ASP) mereka telah menyusut sebanyak 15% hingga 25% daripada paras kemuncaknya. 

 

Bagi prospek kumpulan pada masa hadapan, Supermax ketika ini bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan di luar negara untuk membangunkan kilang sarung tangan dan pelitup muka di negara-negara terlibat. 

 

“Kami difahamkan bahawa syarikat sedang menyelesaikan masalah berkaitan insentif cukai dengan pihak berkuasa yang berkaitan di sana. 

 

“Ia juga akan meneruskan model OBM untuk mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap harga dan pengedaran,” jelas Bei Shan lanjut. 

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham Supermax dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM6.73 sesaham.

 

Setakat 12.30 tengah hari, harga saham Supermax menyusut 1 sen kepada RM4.86. - DagangNews.com