Surau Platinum Al Mawaddah sembelih 17 lembu di Kompleks Abatoir Shah Alam - terjamin bersih dan selamat | DagangNews Skip to main content

Surau Platinum Al Mawaddah sembelih 17 lembu di Kompleks Abatoir Shah Alam - terjamin bersih dan selamat

Kira-kira 100 jemaah Surau Platinum Al Mawaddah, Seksyen 7, Shah Alam bergotong-royong membungkus daging korban untuk disedekahkan pada 11 Julai 2022. - Gambar Prof Dr Rosalan Ali
Oleh JOHARDY IBRAHIM

SHAH ALAM 11 Julai – Surau Platinum Al Mawaddah Seksyen 7 di sini mencatat sejarah tersendiri dengan melaksanakan acara korban bersempena Hari Raya Aidiladha di Kompleks Abatoir Shah Alam, Jabatan Perkhidmatan Veterinar di sini.

 

Sebanyak 17 ekor lembu disembelih di pusat penyembelihan khas tersebut di Seksyen 15 di sini bermula kira-kira 3.30 pagi dan selesai 7 pagi hari ini.

 

Sebanyak 33 ekor kambing pula urusan penyembelihannya dilakukan oleh pembekal di Rawang.

 

Pengarah program Aidiladha Surau Al Mawaddah, Hj Asrul Bonyadi berkata, pihak Al Mawaddah bersetuju menggunakan Kompleks Abatoir tersebut kerana faktor kebersihan dan keselamatan, apatah lagi negara masih berada dalam cengkaman COVID-19 sekarang.

 

Dengan menggunakan perkhidmatan pusat penyembelihan seumpamanya kata beliau, jemaah dapat mengurangkan bilangan orang terdedah bila berkumpul beramai-ramai.

 

Dan satu-satunya kawasan di mana orang akan berkumpul ialah bila mereka membungkus daging-daging untuk diagih-agihkan tetapi dalam kelompok terkawal.

 

Dalam konteks lembu sembelihan pula tambah beliau lagi, semua ternakan yang hendak diproses di Kompleks Abatoir perlu melalui pemeriksaan kesihatan yang ketat.


 

Hj Asrul Bonyadi
                                              Hj Asrul Bonyadi


 

“Lembu-lembu atau ternakan diperiksa sama ada berpenyakit atau tidak. Kemudian setelah diproses, daging-daging yang dipotong akan diperiksa menerusi proses post-mortem.

 

“Penelitian akan dibuat kepada komponen perut dan jantung haiwan bagi memastikan tidak berpenyakit dan selamat dimakan.

 

“ Atas faktor kebersihan dan keselamatan inilah, orang ramai digalakkan untuk menggunakan pusat penyembelihan seumpamanya,’’ kata beliau kepada DagangNews.com di sini hari ini.

 

 

abatoir
Kompleks Abatoir Shah Alam, Jabatan Perkhidmatan Veterinar - Gambar Muhammad Amzar Jailani

 

 

mawaddah

 

mawaddah

 


Hj Asrul berkata, orang ramai sama ada untuk melakukan ibadah korban di masa hadapan atau penjual-penjual, digalak menggunakan pusat penyembelihan yang diwartakan oleh kerajaan iaitu dikendalikan oleh Jabatan Veterinar, swasta dan majlis kerajaan tempatan.

 

Pada acara gotong-royong di Surau Al Mawaddah hari ini, kira-kira 100 jemaah bersama-sama tolong menolong proses membungkus daging-daging untuk disedekahkan. – DagangNews.com