Surina lepaskan jawatan CEO MDEC berkuat kuasa 31 Ogos | DagangNews Skip to main content

Surina lepaskan jawatan CEO MDEC berkuat kuasa 31 Ogos

Surina Shukri memegang jawatan sebagai CEO MDEC sejak 16 Januari 2019.

 

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Surina Shukri melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkuat kuasa 31 Ogos ini.

 

Lembaga Pengarah MDEC ketika mengumumkan perkara itu berkata, Surina mahu memberi tumpuan kepada perkara lain yang menarik minatnya setelah memegang jawatan itu sejak 16 Januari 2019.

 

Sepanjang menerajui MDEC, beliau telah dinamakan sebagai antara figura berpengaruh dalam senarai World’s 50 Most Influential People Revolutionising Governance in the Agile 50 oleh Apolitical and the World Economic Forum’s Global Future Council on Agile Governance pada 2020.

 

"Saya berbesar hati dapat menerajui MDEC dan ekonomi digital negara ke hadapan menerusi perubahan yang tidak dijangka dan cabaran yang signifikan selama 2 tahun 7 bulan saya di MDEC. 

 

"Malah, saya amat berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh MDEC ketika ini, dengan memberi fokus kepada pengukuhan Malaysia yang tercinta ini sebagai Nadi Digital ASEAN. 

 

"Saya yakin pasukan MDEC akan terus melakar kejayaan pada masa hadapan untuk melaksanakan mandat yang telah diamanahkan demi rakyat dan negara," kata Surina dalam kenyataan hari ini.

 

Selain itu, Surina telah mengawalselia kejayaan misi 'Reinvent' dan menerusi pelaksanaannya, menjadikan
MDEC kini sebuah agensi yang cekap, efisien dan profesional serta beroperasi dengan penuh integriti,
menyampaikan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan dan pelabur.

 

Beliau juga merupakan penyumbang utama dalam pembentukan agenda negara untuk digital dan teknologi, sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital atau MyDIGITAL dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara.

 

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Surina atas sumbangan beliau dalam menjayakan misi 'Reinvent' dan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap agenda transformasi negara.

 

Majlis Operasi MDEC (MOC) akan terus beroperasi dan memastikan peralihan yang lancar sehingga pengganti beliau diumumkan. - DagangNews.com