KUALA LUMPUR 23 Ogos - Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan peluasan Skim Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan Geran Bon (geran) bagi memudahcarakan syarikat menjana sukuk dalam memenuhi keperluan kewangan mampan.
Geran tersebut juga kini diperluaskan kepada sukuk berkaitan SRI yang diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk berkaitan SRI (rangka kerja) yang diperkenalkan pada Jun 2022.
Menurut SC, peluasan geran itu akan membolehkan penerbit sukuk berkaitan SRI yang layak untuk mengimbangi sehingga 90% daripada kos semakan luaran yang ditanggung, tertakluk kepada jumlah maksimum RM300,000 bagi setiap terbitan.
Katanya, peluasan itu adalah sebahagian daripada keutamaan Pelan Induk Pasaran 3 untuk memudahcarakan peralihan kewangan yang menyokong komitmen dan aspirasi negara untuk beralih kepada ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim.
"Ia bermatlamat menggalakkan penerbitan sukuk berkaitan SRI oleh syarikat korporat dalam industri intensif karbon ketika mereka beralih ke arah amalan kemampanan yang lebih baik dan aktiviti rendah karbon," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ditubuhkan pada 2018, geran tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Skim Geran Sukuk SRI Hijau, juga terpakai untuk sukuk yang diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk SRI SC dan bon yang diterbitkan di bawah Piawaian Bon Hijau, Sosial dan Kemampanan ASEAN.
Ciri perbezaan utama berkenaan rangka kerja ialah keperluan untuk mempunyai semakan luaran sebelum dan selepas terbitan, kerana SC percaya ia adalah penting dalam memberikan pendapat dan pengesahan bebas mengenai objektif mampan penerbit serta keselarasannya terhadap rangka kerja tersebut.
Sebagai usaha dalam menggalakkan SRI dan kewangan peralihan, SC dan Pasaran Modal Malaysia, disokong oleh Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (JC3) hari ini menganjurkan bengkel untuk memberi kefahaman kepada pengantara pasaran modal berhubung keperluan rangka kerja dan untuk berkongsi amalan terbaik dalam penerbitan sukuk berkaitan SRI.
Bengkel ini merupakan sebahagian daripada 'NaviGate: Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal', program utama SC yang diadakan untuk mewujudkan kesedaran mengenai saluran pembiayaan pasaran modal untuk kemampanan. - DagangNews.com