Syarat syarikat diluluskan dengan insentif dilonggarkan - MIDA | DagangNews Skip to main content

Syarat syarikat diluluskan dengan insentif dilonggarkan - MIDA

 

KUALA LUMPUR 6 April -   Kerajaan akan melonggarkan syarat buat syarikat pembuatan dan perkhidmatan yang telah diluluskan dengan insentif di bawah naungan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan untuk meneruskan usaha penjanaan semula ekonomi Malaysia dengan memudahkan pelaburan dan memulihkan keyakinan pelabur, jelas MIDA.

 

“Di bawah prosedur biasa, syarikat yang diluluskan dikehendaki mematuhi syarat-syarat tertentu dan melaksanakan projek mereka yang telah diluluskan dalam tempoh tertentu seperti yang ditetapkan dalam Surat Kelulusan yang dikeluarkan MIDA,” kata MIDA menurut laporan Bernama.

 

Namun, sebuah syarikat mungkin dipertimbangkan bagi kelonggaran tertentu apabila mencapai ambang yang diluluskan atau memenuhi garis masa pelaksanaan projek mereka yang diluluskan dengan pelaksanaan mekanisme kelonggaran tersebut.

 

Ini tertakluk kepada pematuhan kriteria dikenal pasti yang ditetapkan kerajaan, jelas MIDA.

 

Agensi itu berkata, kelonggaran pematuhan dengan syarat yang ditetapkan adalah bagi tempoh antara tahun 2020 dan 2021.

 

 “Bagi memanfaatkan kemudahan ini, syarikat dikehendaki mengemukakan permintaan mereka dengan segera kepada MIDA dengan dokumen sokongan yang relevan berdasarkan kepada keputusan dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan,” katanya lagi. 

 

Oleh itu, MIDA menggalakkan para pelabur untuk mengemukakan permohonan rayuan mereka bagi kelonggaran atau pindaan syarat insentif kepada bahagian relevan bagi industri dan perkhidmatan khusus dalam agensi itu. - DagangNews.com