Syarikat Eropah dan AS pilih Malaysia, destinasi pelaburan kedua terbaik | DagangNews Skip to main content

Syarikat Eropah dan AS pilih Malaysia, destinasi pelaburan kedua terbaik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Malaysia dipilih sebagai destinasi pelaburan kedua selepas Singapura di rantau Asia Tenggara, oleh syarikat-syarikat di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

 

Mereka melihat negara ini sebagai destinasi kedua yang paling ‘baik' antara negara-negara Asia Tenggara lain, bagi peluang untuk menubuhkan atau mengembangkan sumber, penjualan atau operasi mereka untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang. 

 

Ini berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Standard Chartered, berjudul ‘Borderless Business’.

 

Kaji selidik itu mendapati, Ketua Pegawai Kewangan dan Bendahari di AS, United Kingdom (UK), Jerman dan Perancis menggambarkan bahawa pasaran luar negara kekal sebagai pertumbuhan utama syarikat walaupun situasi tidak menentu akibat impak COVID-19 ke atas ekonomi.

 

“Kajian ini juga mendedahkan pelaburan dalam teknologi digital, mengatasi masalah kewangan dan peningkatan tumpuan terhadap isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang berkaitan dengan perdagangan dan rantaian bekalan diberikan penekanan tambahan.

 

“Dengan aspek kawal selia diletakkan sebagai perhatian nombor satu dalam kalangan responden yang berminat berkembang ke luar negara, ini dapat memberi peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan pelaburan asing melalui kesedaran yang lebih besar mengenai kemudahan menjalankan perniagaan di dalam negara ini,” jelas Standard Chartered dalam sebuah kenyataan berhubung kaji selidik itu.

 

Di peringkat Asia, Malaysia di kedudukan ke-9 dipilih sebagai destinasi pelaburan baik untuk syarikat-syarikat asing menubuhkan atau mengembangkan perniagaan mereka.

 

Standard Chartered

 

Pada tahun 2020, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan bahawa pelaburan langsung asing ke Malaysia mencecah nilai RM64.2 bilion. 

 

Jelas Standard Chartered, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang baru dilancarkan oleh kerajaan dijangka akan mempercepatkan cita-cita Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi maju dari segi teknologi. 

 

Ini akan meningkatkan sokongan untuk projek pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat Fortune 500 dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang akan membawa kepada nilai pelaburan terkumpul sebanyak RM81.9 bilion, kata Standard Chartered.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar melihat Malaysia merupakan pasaran pertumbuhan penting bagi bank itu dan berhasrat untuk meneruskan pelaburan dalam teknologi bagi membantu perkembangan klien runcit, komersial dan perbankan institusinya.

 

Abrar A. Anwar
Abrar A. Anwar

 

“Keyakinan yang kian meningkat di negara ini, ditambah dengan kehadiran kukuh Standard Chartered di Asia, Afrika dan Timur Tengah - pusat perdagangan global - dengan mudah menghubungkan dunia dengan Malaysia dan Malaysia kepada dunia.

 

“Kemampanan, pendigitalan dan keperluan untuk memahami kawal selia bukan sahaja kunci untuk bagaimana perniagaan akan dijalankan, ia juga merupakan peluang bagi perusahaan untuk meningkatkan kecekapan operasi, berkembang di peringkat antarabangsa dan terus maju dalam persaingan,” katanya menerusi kenyataan sama.

 

Asia kekal sebagai rantau pertumbuhan utama dengan lebih 85% perniagaan beroperasi dan dilaksanakan di rantau ini atau mempertimbangkannya bagi aktiviti bisnes.

 

Berdasarkan kajian itu, Afrika dan Timur Tengah juga menyaksikan peningkatan margin, sebanyak 4%, sebagai pasaran pertumbuhan berpotensi dalam tempoh sama. 

 

Namun begitu, memahami keperluan aspek kawal selia di pasaran luar negara (35%) tetap menjadi halangan terbesar bagi syarikat yang ingin mengembangkan atau memperkukuhkan operasi antarabangsa mereka. 

 

Ini diikuti oleh keperluan untuk membina hubungan dengan pembekal dan menyesuaikan logistik rantaian bekalan (21%).

 

Dalam pada itu, tiga keutamaan responden menunjukkan sedikit perubahan daripada masalah termasuk kegagalan rantaian bekalan (50%) dan keperluan kecairan (47%) kepada peningkatan pelaburan dalam pendigitalan untuk menggerakkan kecairan (66%) dan ESG (23%). - DagangNews.com