Syarikat kecil industri hiburan lebih yakin ungguli pasaran pasca COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Syarikat kecil industri hiburan lebih yakin ungguli pasaran pasca COVID-19

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Berbanding jenama besar dalam industri hiburan global, perniagaan yang lebih kecil iaitu mempunyai hasil kurang daripada AS$1 juta lebih yakin mereka dapat mengungguli pasaran pada tempoh enam bulan akan datang.

Kajian yang dijalankan oleh Brand, ‘The What Matters Survey’ mendapati sebanyak 58% responden yang mempunyai pengaruh besar dalam industri hiburan yakin dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik bagi tempoh berkenaan.

Dalam pada itu, 70% daripadanya pula percaya impak COVID-19 hanya bertahan dalam tempoh satu hingga dua tahun sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Branded, Jasper Donat berkata, sukar untuk menentukan apakah cabaran jangka masa pendek dan panjang yang dihadapi oleh pemain industri.

 

Jasper Donat
Jasper Donat

 

“Walau bagaimanapun, The What Matters Survey menunjukkan optimisme yang ditonjolkan oleh pemimpin di syarikat-syarikat dan komitmen baharu untuk menentukan arah tuju perniagaan.

“Syarikat dalam industri hiburan termasuk kami ingin memainkan peranan, sama ada membawa perubahan kepada kumpulan terpilih atau menjadi pemangkin pertumbuhan industri makro,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Kajian itu dilaksanakan ke atas lebih 60 penggerak, pembuat keputusan syarikat dan C-suite yang mempunyai pengaruh signifikan dalam industri hiburan.

Dalam pada itu, industri hiburan tidak asing dengan isu tekanan mental di mana kajian itu melaporkan walaupun mereka yakin terhadap prospek perniagaan, tetapi satu pertiga daripada responden berdepan dengan isu kesihatan mental.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, eksekutif kanan syarikat lebih peka tentang kesejahteraan dan amalan perniagaan yang sesuai dengan hala tuju mereka.

Ini sejajar dengan penemuan kajian itu di mana keseimbangan kerja dan kehidupan menduduki tangga teratas yang diberikan keutamaan oleh eksekutif kanan berbanding pembinaan kerjaya atau gaji.

Mereka melihat mewujudkan impak yang bermakna dalam masyarakat, rangsangan kreatif, dan kesihatan serta kesejahteraan adalah lebih penting. – DagangNews.com