Syarikat konsortium Asteel Group terima subkontrak RM61.2 juta daripada Gamuda bagi kerja-kerja pelapisan bumbung, dinding pusat data | DagangNews Skip to main content

Syarikat konsortium Asteel Group terima subkontrak RM61.2 juta daripada Gamuda bagi kerja-kerja pelapisan bumbung, dinding pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Asteel Group Bhd menerusi syarikat konsortium Asteel (Sarawak) Sdn Bhd dan Sarnatec Sdn Bhd menerima subkontrak bernilai RM61.2 juta daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd bagi pembinaan kerja-kerja pelapisan bumbung dan dinding bagi Pusat Data Hiperskala EBP1A di Elmina Business Park, Selangor.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, projek itu melibatkan pembinaan dan penyiapan pelapisan bumbung dan dinding pusat data berkenaan secara bersama mengikut terma dan syarta perjanjian perjanjian pembinaan utama.

 

"Kontrak itu adalah bagi tempoh 15 bulan bermula dari 12 Ogos 2024," katanya.

 

Katanya, projek itu membolehkan kumpulan meningkatkan rujukan projek selain memberikan kelebihan daya saing dalam projek pembinaan masa hadapan terutama dengan permintaan pusat data yang semakin meningkat di Malaysia.

 

Projek itu juga akan menyediakan platform untuk Sarnatec dan Asteel bekerjasama pada masa hadapan.

 

"Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan pendapatan sesaham kumpulan Asteel 

 

"Ia bagaimanapun tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham besar Asteel dan tidak dijangka mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih sesaham dan penggearan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024," katanya.- DagangNews.com