Syarikat minyak nasional Asia Tenggara bakal teraju pertumbuhan capex minyak dan gas pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Syarikat minyak nasional Asia Tenggara bakal teraju pertumbuhan capex minyak dan gas pada 2024

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Perbelanjaan modal (capex) yang dirancang oleh 15 syarikat minyak dan gas utama Asia dijangka mencecah AS$136.4 bilion pada 2024, menyaksikan peningkatan sebanyak 4.8% berbanding paras sebelumnya pada 2023 menurut BMI, unit penyelidikan Fitch Solutions.

 

Dalam nota berasingan, BMI meramalkan belanjawan Petronas dijangka meningkat sebanyak 5.4% tahun ke tahun kepada AS$11.57 bilion pada 2023 berbanding tahun sebelumnya. 

 

BMI juga berkata, keperluan belanjawan operasi domestik dan antarabangsa telah meningkat pada 2023.

 

“Dalam operasi domestik, capex Petronas dijangkakan meningkat sebanyak 41% tahun ke tahun daripada tahun sebelumnya disebabkan pelaburannya dalam projek gas asli cecair (LNG) serta projek penangkapan, penyimpanan dan penggunaan karbon yang disepadukan dengan pembangunan Projek Kasawari CCS yang sedang dibangunkan di Sarawak. 

 

“Keperluan capex dalam projek huluan domestik dijangka meningkat kepada AS$13.2 bilion pada 2024 kerana komitmen Petronas dalam pelaburan projek luar negara. 

 

“Pada masa yang sama, keperluan belanjawan untuk pelaburan mungkin meningkat dengan ketara pada 2025 jika Petronas meneruskan projek gas asli Lang Lebah,” katanya.

 

BMI berkata, pelaburan dalam operasi luar negara dijangka terus meningkat pada 2024 memandangkan Petronas dan rakan kongsinya, EP Angola Blok 20 TotalEnergies dan Sonangol Pesquisa e Produção SA telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membangunkan padang Cameia dan Golfinho di luar pesisir Angola. 

 

Petronas memegang 40% kepentingan dalam projek itu. 

 

Selain itu, modal penerokaan di Indonesia dijangka meningkat pada 2024 sejak anak syarikat Petronas, Petronas E&P Bobara Sdn.Bhd telah menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran Kawasan Kerja Bobara yang terletak di luar pesisir Papua Barat, Indonesia, pada Mei 2024.

 

Petronas E&P Bobara merupakan pengendali projek yang memegang 100% kepentingan dalam Kawasan Kerja Bobara.

 

BMI turut berkata, Malaysia bakal menyaksikan peningkatan berterusan dalam perbelanjaan cari gali huluan pada 2024. 

 

“Memandangkan kerajaan telah melancarkan pusingan pembidaan petroleum berturut-turut sejak 2021, syarikat asing dijangka mengekalkan tahap perbelanjaan cari gali yang lebih tinggi berikutan penemuan minyak dan gas pada 2023 ,” kata BMI.- DagangNews.com