Syarikat pemaju hartanah dijangka berdepan tekanan margin pada suku akan datang | DagangNews Skip to main content

Syarikat pemaju hartanah dijangka berdepan tekanan margin pada suku akan datang

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Jun - Syarikat pemaju hartanah dijangka berdepan tekanan margin pada suku akan datang disebabkan kesan kenaikan kos bahan pembinaan, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Penganalisisnya, Tan Kai Shuen berkata, walaupun kebanyakan pemaju secara amnya mengecilkan kesan peningkatan kos pembinaan dengan panduan terdiri daripada tiada impak kepada kesan sederhana pada margin, tetapi pemaju, terutamanya yang mempunyai kuasa penetapan harga lebih rendah akan terjejas pada suku berikutnya, khususnya semasa peringkat menyiapkan projek apabila kos dimuktamadkan.

 

Pada masa sama, katanya, sektor hartanah turut berdepan risiko penurunan terutamanya masalah kekurangan buruh dalam sektor pembinaan, kenaikan kos bahan binaan dan gangguan rantaian bekalan.

 

Bagaimanapun, di sebalik kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) lebih awal daripada jangkaan, keseluruhan persekitaran makro kekal menyokong sektor hartanah.

 

"Ini didorong pemulihan ekonomi (dengan Keluaran Dalam Negara Kasar-KDNK berkembang 5% pada suku pertama) dan kenaikan inflasi lebih terkawal ebrbanding rantau lain (berikutan subsidi kerajaan terhadap harga bahan api)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi suku berakhir 31 Mac 2022, prestasi syarikat pemaju hartanah di bawah liputan HLIB kebanyakannya dipengaruhi masalah kekurangan buruh yang turut menjejaskan kemajuan pembayaran projek. 

 

Meskipun isu berkenaan melanda segmen pembinaan sejak tahun lalu, tetapi ia lebih ketara pada suku pertama 2022.

 

Selain itu, kempen pemilikan rumah (HOC) yang berakhir 31 Disember 2021 juga memberi kesan negatif kepada syarikat pemaju terutamanya SP Setia Bhd. dan UEM Sunrise Bhd., memandangkan kedua-duanya menawarkan segmen hartanah dalam kategori berharga sederhana hingga tinggi. 

 

Secara keseluruhan, ia menunjukkan prestasi bercampur-campur dengan 2 daripada syarikat pemaju di bawah HLIB mengatasi jangkaan manakala 3 berada dalam jangkaan dan 3 lagi meleset daripada ramalan. 

 

HLIB bagaimanapun mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah dengan pilihan utamanya ialah Sunway Bhd., Mah Sing Group Bhd. dan Matrix Concepts Holdings Bhd. 

 

Firma itu memberi saranan 'beli' terhadap Sunway, Mah Sing dan Matrix Concepts dengan harga sasaran masing-masing pada RM2.66, 90 sen dan RM2.54 sesaham. - DagangNews.com