Syarikat penerbangan perlu kembalikan bayaran penuh bagi kelewatan lima jam atau lebih mulai bulan depan - Loke | DagangNews Skip to main content

Syarikat penerbangan perlu kembalikan bayaran penuh bagi kelewatan lima jam atau lebih mulai bulan depan - Loke

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Syarikat penerbangan perlu kembalikan bayaran penuh kepada penumpang bagi penerbangan yang tertunda selama lima jam atau lebih mulai bulan depan. 

 

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, dasar itu merupakan sebahagian daripada penambahbaikan yang dibuat kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 yang akan diwartakan pada 2 Sept 2024.

 

Selain itu, penumpang diberi pilihin untuk bayaran balik penuh jika mereka ingin membatalkan perjalanan mereka dan syarikat penerbangan mesti kembalikan bayaran penuh melalui cara pembayaran asal.

 

Loke berkata, semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan daripada sistem tempahan, termasuk platform ejen pelancongan dalam talian dan luar talian.

 

 

hhh
Anthony Loke 

 

Beliau turut berkata, syarikat penerbangan yang gagal mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) yang dipinda akan berdepan penalti maksimum RM200,000. 

 

"Bagi pelanggaran berikutnya, penalti akan meningkat sepuluh kali ganda berbanding kesalahan pertama.

 

“Tempoh aduan juga telah dilanjutkan kepada dua tahun.

 

"Pindaan kepada MACPC juga akan memastikan keselamatan penumpang dipertingkatkan untuk penerbangan.

 

"Suruhanjaya Penerbangan Malaysia akan memantau prestasi pengendali penerbangan bagi memastikan mereka mematuhi piawaian industri," ujar beliau semasa sidang media hari ini.

 

Loke juga berkata, sejak kod etika itu diperkenalkan pada 2016, penalti terkumpul berjumlah RM4.7 juta telah dibayar kepada pelanggan. 

 

Antara penambah baikan pindaan itu, syarikat penerbangan mesti kembalikan bayaran balik penuh mandatori kepada penumpang bagi penerbangan tertunda selama lima jam atau lebih jika mereka memilih untuk tidak meneruskan penerbangan awal mereka.- DagangNews.com