Syarikat pengeluar kenderaan EV China dalam rundingan untuk melabur di Perlis - MIDA | DagangNews Skip to main content

Syarikat pengeluar kenderaan EV China dalam rundingan untuk melabur di Perlis - MIDA

Gambar FB The Kangar
Oleh BERNAMA

KANGAR 13 Sept - Beberapa syarikat dari China sedang berunding dengan pihak berkuasa berhubung pelaburan di Perlis terutama di kawasan Chuping dekat Padang Besar.

 

Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Kedah dan Perlis Mohd Rushdan Mohd Ghazali berkata jangkaan pelaburan baharu melibatkan industri kenderaan elektrik (EV).

 

“(Jangkaan pelaburan baharu itu akan pergi ke Perlis) mungkin mengambil masa, kita tidak boleh menganggarkan bila Perlis akan menerima pelaburan ini kerana ia masih dalam rundingan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog MIDA bersama Dewan Perniagaan Perlis Tiong Hwa dan Industri di sini.

 

Mohd Rushdan berkata Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) memfokuskan kepada empat kluster iaitu industri hijau, industri halal termasuk farmaseutikal, kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Beliau berkata banyak syarikat terutama dari China sedang meninjau Kulim dan Sungai Petani di Kedah untuk melabur dalam industri semikonduktor.

 

"Hab (separa konduktor) sudah tentu di Pulau Pinang dan Kedah (Kulim), (tetapi) kita juga mahu melihat pelaburan dalam semikonduktor tumpah ke bahagian utara Kedah dan juga Perlis. Banyak syarikat dari China kini melihat Kulim terutamanya, dan Sungai Petani Jadi kita mahu melihat pelaburan itu terus meningkat," tambahnya. - DagangNews.com