Syarikat telco meterai perjanjian dengan DNB, kurangkan kebimbangan pasaran terhadap situasi 5G di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Syarikat telco meterai perjanjian dengan DNB, kurangkan kebimbangan pasaran terhadap situasi 5G di Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Okt - Enam syarikat telekomunikasi (telco) yang menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) dengan Digital Nasional Bhd. (DNB) memberi perkembangan positif kepada situasi 5G di Malaysia.

 

Malah, menurut CGS-CIMB Research, kata putus yang dicapai syarikat telco berkenaan juga akan menghilangkan kebimbangan pasaran terhadap senario yang mungkin lebih buruk.

 

Katanya, perkembangan penting seterusnya ialah syarikat telco dijangka memeterai Perjanjian Akses 5G antara keenam-enam syarikat telekomunikasi (termasuk Maxis dan U Mobile) dan DNB menjelang 30 Oktober 2022.

 

"Ini membolehkan kami mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor ini, memandangkan potensi pendapatan daripada yuran borong 5G telah diambil kira dalam harga saham syarikat telco.

 

"Setakat ini, harga saham telco telah merosot secara purata sebanyak 23%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kelmarin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, semua enam syarikat telco utama negara telah menandatangani perjanjian penyediaan akses 5G disediakan DNB.

 

Menurutnya, Maxis, U Mobile, Celcom Axiata, Digi, YTL Communications, dan Telekom merupakan syarikat telco yang terlibat dalam perjanjian terbabit.

 

Sebelum ini, empat daripada enam pengendali rangkaian mudah alih (MNO) negara telah melaksanakan perjanjian langganan saham untuk mengambil alih kepentingan ekuiti dalam pembekal perkhidmatan 5G DNB dengan Celcom Axiata dan Digi Telecommunications masing-masing mengambil 12.5% , manakala YTL Communications dan TM telah mendaftar masing-masing 20%.

 

Baki dua penyedia perkhidmatan, Maxis Communications dan U-Mobile telah memilih untuk tidak terlibat.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, penggunaan 5G kini sedang berjalan dengan pantas, dengan Fasa 1 siap menjelang akhir tahun ini akan meliputi liputan 40% di kawasan berpenduduk.

 

Katanya, dalam jangka panjang, kemunculan teknologi 5G pasti akan membawa produk dan perkhidmatan baharu yang akan memberi kesan positif kepada ekonomi.

 

"Secara keseluruhan, dengan kemunculan model rangkaian borong tunggal (SWN) untuk penggunaan 5G, syarikat telco perlu terus mencipta cadangan nilai perkhidmatan yang menarik untuk mengekalkan bahagian pasaran masing-masing.

 

"Memandangkan model ini boleh menyebabkan pencairan margin keuntungan, mempunyai pelan pengurusan kos yang cekap adalah penting untuk mempertahankan margin keuntungan," katanya yang mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telco. - DagangNews.com