Syed Md Najib Syed Md Noor letak jawatan sebagai CEO Pos Malaysia | DagangNews Skip to main content

Syed Md Najib Syed Md Noor letak jawatan sebagai CEO Pos Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Mei - Syed Md Najib Syed Md Noor meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd, berkuat kuasa 1 Jun 2021 selepas berkhidmat dengan syarikat itu selama hampir tiga tahun.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pos Malaysia berkata, Syed Md Najib dilantik pada Oktober 2018, ketika  itu struktur jumlah surat berkurangan dan peralihan besar berlaku dalam tingkah laku pengguna terhadap produk penggunaan, platform digital lebih disukai.

 

Di bawah kepemimpinan Syed Md Najib, pelbagai inisiatif dilaksanakan dan antara kejayaannya ialah  pencapaian pengimbangan semula tarif pos bersepadu, ia merupakan kenaikan tarif kedua dalam tempoh 28 tahun.

 

"Bekerja di Pos Malaysia dengan posmen dan kakitangan Pos Laju adalah pengalaman yang berharga. Terima kasih saya ucapkan kepada ahli lembaga, pengurusan dan semua pihak atas sokongan luar biasa," kata Syed Md Najib, lapor Bernama.

 

Sementara itu, Pos Malaysia berkata, syarikat menghormati keputusan Syed Md Najib untuk meletak jawatan.

 

"Ahli Lembaga Pengarah kini dalam proses mencari pengganti beliau yang sesuai. Syarikat mengucapkan terima kasih kepada Syed Md Najib atas sumbangannya yang tidak ternilai dan selamat maju jaya,” katanya. - DagangNews.com