KUALA LUMPUR 29 Mac - Pengerusi Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham mengkritik Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai provokatif kerana mempertikaikan usaha kerajaan mengembalikan semula kegemilangan Bahasa Melayu.
Ikmal Hazlan berkata, kerisauan Ahli Parlimen Muar itu bahawa usaha tersebut hanya sebagai langkah untuk meraih sokongan bagi pilihan raya akan datang hanyalah polemik politik semata-mata.
Beliau juga amat kecewa dengan kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Syed Saddiq bertajuk “A vision for language in Malaysia” sebagai seorang Ahli Parlimen muda berbangsa Melayu.
"Selaku Ahli Parlimen yang diundi oleh rakyat secara demokratik, beliau seharusnya berpandangan jauh dengan menggunakan laras hujah yang membina, bukannya yang berunsur provokatif.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya memartabatkan Bahasa Melayu bukan sahaja di Malaysia malah di seantero dunia kerana ia merupakan lambang jati diri warganegara dan sebagai lambang negara di persada dunia," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.
Ia adalah usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.
Menurut Ikmal Hazlan, pada masa sama masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil, selain Bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara.
"Sebagai contoh, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76, kita dapat melihat utusan khas daripada Korea Selatan telah menyampaikan ucapan mereka menggunakan bahasa rasmi negara mereka.
"Langkah yang diambil oleh utusan khas Korea Selatan ini bukan bermakna mereka menidakkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi antarabangsa, malah Bahasa Inggeris juga semakin digunakan di negara tersebut tetapi ini menunjukkan bahawa mereka tidak merasa kekok dalam memperakukan dan mempertontonkan kejatidirian bangsa mereka di mata antarabangsa," katanya.
Katanya, pemartabatan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak seharusnya dipandang enteng atau dianggap sebagai tindakan yang menafikan kepentingan bahasa rasmi dunia, iaitu Bahasa Inggeris.
"Bahasa Melayu adalah Bahasa Malaysia, bukannya bahasa etnik yang terperosok jauh di penjuru global," katanya. - DagangNews.com