Syed Saddiq didapati bersalah pecah amanah RM1.12 juta, pengubahan wang haram | DagangNews Skip to main content

Syed Saddiq didapati bersalah pecah amanah RM1.12 juta, pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR 9 Nov - Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disabitkan bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan harta dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM1.12 juta wang belia Bersatu. 

 

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dan bekas Ketua ARMADA bersalah terhadap kesemua empat tuduhan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

 

"Mahkaman memutuskan permbelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya melepasi keraguan munasabah.

 

"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah di atas kesemua tuduhan," katanya

 

Syed Saddiq, 30, yang memakai sut hitam dan berada dalam kandang tertuduh, kelihatan tenang ketika hakim memberikan keputusannya.

 

Bagi tuduhan pertama, dia dituduh bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana sayap parti itu berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana terbabit di CIMB Bank Berhad, di Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

 

Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 

Bagi pertuduhan kedua, dia yang kini Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 

Syed Saddiq turut didakwa dengan dua tuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing berjumlah RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

 

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

 

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

 

Mahkamah pada peringkat ini sedang mendengar hujahan bagi meringankan hukuman yang dibuat oleh peguam belanya, Gobind Singh Deo.

 

(BERITA PENUH MENYUSUL) - DagangNews.com