AT Systematization meterai kontrak 2 tahun bernilai AS$10 juta dengan Rieter | DagangNews Skip to main content

AT Systematization meterai kontrak 2 tahun bernilai AS$10 juta dengan Rieter

KUALA LUMPUR 9 Feb - AT Systematization Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, AT Precision Tooling Sdn. Bhd. (ATP) memeterai nilai kontrak selama 2 tahun dengan firma Switzerland, Rieter Machine Works Ltd. 

 

Kontrak itu membabitkan pengeluaran dan bekalan bahagian aluminium bagi kad Rieter dan mesin pemutar cincin bernilai AS$10 juta, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Tempoh kontrak itu yang akan bermula 1 Januari 2022 hingga 30 Disember 2023, membolehkan AT membekalkan kuantiti pengeluaran kepada Rieter hampir 950 set komponen kad dan 1,800 mesin pemutar cincin. 

 

Kedua-dua komponen berketepatan tinggi ini akan digunakan untuk mesin tekstil Rieter.

 

Pengarah Urusan AT, Choong Lee Aun berkata, kontrak yang ditandatangani dengan Rieter adalah bukti  keyakinan mereka terhadap keupayaan dan perkhidmatan AT dalam tempoh 6 tahun lalu sejak 2016.

 

"Perjanjian baharu ini menunjukkan keupayaan berterusan kami, hasil daripada komitmen untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi yang akan mendorong kami untuk terus cemerlang dalam apa yang kami lakukan," katanya.

 

Beliau menjangkakan kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2022 hingga 2023. 

 

Rieter merupakan pembekal utama dunia bagi pembangunan sistem pemintalan gentian ruji pendek dan mengeluarkan mesin, sistem dan komponen yang digunakan untuk menukar gentian semula jadi dan buatan  serta adunannya menjadi benang dengan 17 lokasi pembuatan di 10 negara. - DagangNews.com