T7 Global lancar cabang perkhidmatan tenaga mahir menerusi T7 IR | DagangNews Skip to main content

T7 Global lancar cabang perkhidmatan tenaga mahir menerusi T7 IR

KUALA LUMPUR 23 Mac - Syarikat penyelesaian pembekal tenaga, T7 Global Berhad hari ini melancarkan cabang perkhidmatan pengambilan tenaga kerja mahir menerusi T7 Intelligent Resources Sdn. Bhd. (T7 IR) semasa persidangan OTC Asia 2022.

 

T7 IR yang merupakan anak syarikat kepada T7 Global memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam membekalkan tenaga kerja dalam pelbagai industri di seluruh Asia dan sejak ditubuhkan ia telah berkembang pesat dalam perniagaan itu.

 

Pasukan perunding dan kakitangan sokongannya yang berpengalaman berjaya menyempurnakan projek dan operasi bertaraf dunia merentas beberapa sektor utama seperti minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga boleh diperbaharui, kereta api dan infrastruktur, dan bank.

 

Pengerusi T7, Datuk Seri Dr. Nik Norzul Thani N Hassan Thani berkata, kumpulan itu dijenamakan semual pada 2016 dengan misi mengembangkan perniagaan dalam industri minyak dan gas dengan tawaran pelbagai sokongan teknikal seperti kejuruteraan, perolehan dan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan, perkhidmatan telaga bersepadu, produk dan teknologi pakar serta pengambilan dan perkhidmatan tenaga manusia.

 

Beliau berkata, pihaknya menyedari  bahawa permintaan untuk sumber tenaga kerja mahir sentiasa tinggi dalam sektor minyak dan gas dan atas dasar itu pihaknya mengambil inisiatif menubuhkan T7 Intelligent Resources pada 2014 untuk memenuhi permintaan bagi sektor koporat.

 

"Hari ini, fokus kami bukan sahaja dalam industri minyak dan gas sahaja tetapi berkembang kepada bidang maklumat dan teknologi komunikasi serta sektor ekonomi tenaga baharu, yang semakin meningkat.

 

"Menerusi pelancaran dan perasmian T7 IR hari ini, kami akan dapat meningkatkan lagi jenama syarikat kami dan mewujudkan kesedaran untuk menarik lebih mahir, tenaga kerja profesional serta kumpulan korporat untuk menyertai kami penyelesaian pengurusan sumber manusia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Ahmad berkata, pihak kementerian mengalu-alukan visi T7 Intelligent Resources untuk menjadi antara agensi swasta yang menguruskan bakat digital, sektor minyak dan gas serta sektor ekonomi tenaga baharu yang sedang berkembang di Malaysia. - DagangNews.com