T7 Global peroleh kontrak bernilai RM300 juta daripada Petronas, Repsol dan CHOC | DagangNews Skip to main content

T7 Global peroleh kontrak bernilai RM300 juta daripada Petronas, Repsol dan CHOC

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 6 Dis - Penyedia penyelesaian tenaga T7 Global Berhad (T7 Global) memperoleh tiga surat pelantikan dan anugerah dengan nilai gabungan berjumlah kira-kira RM300 juta di bawah bahagian tenaga untuk segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) dan segmen produk pakar.

 

Dalam kenyataannya hari ini, T7 Global berkata, surat perlantikan dan anugerah tersebut adalah daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Syarikat Operasi Carigali Hess Sdn. Bhd. (CHOC) kepada Tanjung Offshore Services Sdn. Bhd. (Tanjung Offshore), anak syarikat milik penuh T7 untuk segmen O&M. 

 

Selain itu katanya , anak syarikatnya T7 Wenmax Sdn. Bhd. (T7 Wenmax) telah menerima surat anugerah daripada Repsol Oil & Gas Malaysia Limited (Repsol) untuk segmen produk pakar.

 

Pengerusi T7 Global Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani berkata, penganugerahan kontrak itu merupakan kemenangan besar bagi Kumpulan kerana untuk mengembangkan keupayaannya dalam produk pakar serta menawarkan penyelesaian inovatif kepada pelanggan bereputasi seperti PETRONAS dan PAC yang lain. 

 

"Kami menghargai kepercayaan PETRONAS dan rakan kongsi kami Siemens AG telah berikan kepada kami selama ini. 

 

"Kami telah bekerjasama rapat dengan Siemens AG sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini perkongsian kami telah membuahkan hasil. Kami secara konsisten mempromosikan penyelesaian digital dan automatik dalam pasaran serantau kerana kami percaya pendigitalan adalah jalan ke hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut beliau, dengan penganugerahan oleh Petronas itu, Tanjung Offshore, bersama rakan teknologinya, Siemens AG, akan bekerjasama untuk menyediakan penyelesaian Sistem Kawalan Teragih (DCS) untuk Pakej A: Hilir dan Pakej B: Syarikat Urusan Hulu dan Petroleum (PAC). 

 

"Ia meliputi semua Kumpulan Syarikat Petronas dan lokasi darat dan luar pesisir PAC di seluruh Malaysia," katanya.

 

Tambahnya, Tanjung Offshore juga telah memenangi anugerah daripada CHOC untuk penyediaan Perkhidmatan Pembinaan dan Penyelenggaraan Topside untuk kemudahan gas mereka yang terletak di Blok A-18 Kawasan Pembangunan Bersama yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA). 

 

Selain itu, T7 Wenmax telah mendapat kontrak daripada Repsol untuk penyediaan naik taraf pemeteran gas jualan untuk Bunga Raya A, yang berkaitan dengan menaik taraf instrumentasi dan peralatan untuk memastikan kefungsian sistem sedia ada tidak terganggu.

 

 “Dengan kontrak ini, buku pesanan kami telah meningkat kepada RM2.3 bilion dan Bahagian Tenaga kami akan berkembang dalam beberapa tahun akan datang melaksanakan projek-projek ini,” tambahnya. -DagangNews.com