T7 Global raih keuntungan tertinggi dalam sejarah pada FY23 didorong pendapatan segmen tenaga | DagangNews Skip to main content

T7 Global raih keuntungan tertinggi dalam sejarah pada FY23 didorong pendapatan segmen tenaga

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Feb - Keuntungan bersih T7 Global Bhd meningkat kepada RM14.4 juta dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) daripada RM11.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan pada suku berakhir 31 Disember 2023 itu juga bertambah sebanyak 49.5% kepada RM250.8 juta berbanding RM167.73 juta, manakala pendapatan sesaham naik kepada 1.87 sen daripada 1.53 sen.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, secara kumulatif, keuntungan bersih dan pendapatan T7 Global pada tahun kewangan 2023 (FY23) masing-masing meningkat 66.2% dan 61.5% kepada RM56 juta dan RM250.8 juta.

 

Sementara itu, dalam kenyataan medianya, T7 Global berkata, hasil setahun penuh dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) adalah tertinggi yang pernah dicatatkan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata, prestasi membanggakan ini didorong kesungguhan semua bagi membolehkan beberapa pencapaian yang menyumbang kepada prestasi baik FY23 diraih.

 

CEO
Ketua Pegawai Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin

 

ARTIKEL BERKAITAN: T7 Global raih kontrak RM21.17 juta bekal meter pintar kepada TNB

 

Katanya, portfolio aset tenaga seperti Unit Pengeluaran Luar Pesisir Mudah Alih (MOPU) dan Unit Kerja Hidraulik (HWU) akan terus dikembangkan yang didorong oleh peningkatan permintaan serantau.

 

"Kami berjaya menyerahkan TSEVEN ELISE MOPU  yang memulakan operasinya pada Julai 2023. Kontrak ini memberikan kami pendapatan yang konsisten untuk 10 tahun akan datang. 

 

"Selain itu, kami menjangkakan TSEVEN SHIRLEY MOPU akan dipasang dan dikendalikan di medan Nong Yao, perairan Thailand pada 2024.

 

​"TSEVEN SHIRLEY MOPU bersedia untuk menjana pendapatan berulang yang konsisten untuk Kumpulan dalam tempoh 5 tahun akan datang," katanya.

 

Menurut Kay Zhuin, T7 Global juga akan giat meneruskan lebih banyak kerja minyak dan gas yang disokong oleh tinjauan positif bagi sektor minyak dan gas huluan memandangkan harga minyak yang stabil dan perbelanjaan CAPEX yang meningkat.

 

Katanya, T7 Global juga akan meneruskan pengembangan dalam bahagian bukan tenaga dengan mencari peluang baharu untuk mempelbagaikan aliran hasil tidak terhad kepada segmen aeroangkasa dan infrastruktur.

 

“Kami kini sedang melaksanakan Program Penggantian Aset Sistem Pengendalian Bagasi (BHS ARP) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan projek itu berada dalam tahun kedua penghantaran.

 

“Selain itu, kami juga dianugerahkan kontrak untuk membekalkan meter pintar kepada Tenaga Nasional Berhad sebagai sebahagian daripada program Infrastruktur Pemeteran Termaju (AMI) mereka," ujarnya sambil menambah T7 Global juga berada pada kedudukan yang baik dalam rantaian bekalan aeroangkasa.- DagangNews.com