TA Research mengunjurkan peningkatan aktiviti huluan sektor O&G beri manfaat kepada Pantech | DagangNews Skip to main content

TA Research mengunjurkan peningkatan aktiviti huluan sektor O&G beri manfaat kepada Pantech

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Permintaan bagi produk paip, injap dan kelengkapan (PVF) dijangka meningkat dalam sektor minyak dan gas (O&G) berikutan peningkatan dalam pelaburan huluan dan penyahkarbonan operasi yang boleh memanfaatkan Pantech Group Holdings Berhad.

 

TA Research berkata, Pantech ialah pusat sehenti PVF yang menyediakan rumusan bagi penghantaran gas dan bendalir.

 

Katanya, prospek hidrogen sebagai pembawa tenaga yang boleh disimpan menggerakkan dan menghantar tenaga akan meningkatkan permintaan bagi pengeluaran, penghantaran dan penggunaan akhir gas.

 

Penghantaran hidrogen mungkin memerlukan pemasangan saluran paip baharu di sebelah saluran paip penghantaran sedia ada untuk gas asli, katanya.

 

TA Research positif terhadap prospek kumpulan berikutan harga minyak yang berdaya tahan yang akan menggalakkan pelaburan huluan yang lebih tinggi serta potensi penggunaan dan penyimpanan hidrogen.

 

Ia berkata sektor O&G akan terus menjadi penyumbang utama pendapatan Pantech, secara konsisten menyumbang lebih daripada 50%. 

 

Sektor itu menyumbang 55% daripada hasil kumpulan pada tahun kewangan 2023 (FY23). Selain itu, Pantech turut menawarkan hasil dividen yang menarik.

 

"Kami mengandaikan pembayaran dividen sebanyak 50%, Pantech menawarkan hasil dividen yang menarik sebanyak 6.8% hingga 7.3% untuk FY24 hingga FY26," katanyadalam satu nota kajian, hari ini.

 

Ia juga menaikkan unjuran pendapatan FY24, FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 3.4%, 4.3% dan 5%.

 

TA Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.18 sesaham. - DagangNews.com