KUALA LUMPUR 28 Sept - TA Research memulakan liputan terhadap Rexit Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) 84 sen.
Firma itu berkata, penyedia penyelesaian dan perkhidmatan teknologi maklumat khusus kepada industri insurans am memiliki rekod cemerlang selain memiliki model perniagaan berdaya tahan selain margin keuntungan yang kukuh (FY18 hingga FY22: 34.7% hingga 39.2%).
Selain itu, kumpulan itu juga memiliki pulangan ekuiti yang tinggi (FY18 hingga FY22: 21.0% hingga 23.4%).
"Selain asasnya yang kukuh, model perniagaan kumpulan yang berdaya tahan dan pendedahan kepada sektor insurans, kami berpendapat bahawa saham itu akan menarik minat pelabur yang mencari strategi pelaburan defensif.
"Selain itu, pada tahap semasa, hasil untuk FY23 hingga FY25 dijangka pada paras 5.0% hingga 5.4%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu menjangkakan, kumpulan itu mengekalkan trajektori pertumbuhannya yang stabil dengan hasil dan keuntungan bersih teras berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 2.0% dan 3.3% kepada RM26.4 juta dan RM10.4 juta pada FY25.
"Kami menjangkakan pertumbuhan itu akan disokong oleh peningkatan penggunaan e-Cover daripada pelanggan sedia ada dan baharu di sebalik liputan kelas insurans yang diperluas serta peningkatan penyelesaian dan perkhidmatan.
"Pertumbuhan satu digit mencerminkan industri insurans am Malaysia dengan jumlah premium langsung kasar berkembang pada CAGR 10 tahun sebanyak 2.7% kepada RM17.7 bilion pada 2021," katanya. - DagangNews.com