TA Research mulakan liputan terhadap TRC Synergy dengan saranan 'beli', TP 38 sen | DagangNews Skip to main content

TA Research mulakan liputan terhadap TRC Synergy dengan saranan 'beli', TP 38 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - TA Research memulakan liputan terhadap TRC Synergy Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) 38 sen sesaham.

 

Firma itu berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan pengurusan kumpulan yang sangat berpengalaman dan memiliki rekod cemerlang dalam industri pembinaan.

 

Selain itu, kumpulan itu juga berjaya mencatatkan hasil positif di dalam sektor pembangunan hartanah.

 

"Mereka juga memiliki kunci kira-kira yang sihat dengan pegangan tunai sebanyak RM153.8 juta atau 32 sen sesaham pada penghujung Jun 2022 selain unjuran dividen antara 4.7% dan 5.0% bagi FY23 dan FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, bahagian pembinaan kumpulan itu menyumbang lebih daripada 70% untuk hasil kumpulan itu.

 

Katanya, mereka terlibat dalam menjalankan dan menyelesaikan kerja-kerja pembinaan infrastruktur serta bangunan utama untuk infrastruktur landasan kereta api, lebuh raya, bangunan, terminal lapangan terbang, kemudahan pelabuhan, pangkalan kapal selam dan jambatan.

 

"TRC berdaftar sebagai kontraktor Gred 7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan,membolehkan kumpulan itu membuat tender untuk projek dengan nilai tanpa had.

 

"Kebanyakan hasil kumpulan adalah daripada Malaysia," katanya. 

 

Firma itu berkata, selain industri pembinaan, kumpulan itu juga terlibat dengan segmen seperti pelaburan, perkhidmatan pengurusan hartanah, pembuatan dan berurusan dalam cerucuk konkrit. - DagangNews.com