TA Research optimis terhadap prospek jangka panjang Able Global | DagangNews Skip to main content

TA Research optimis terhadap prospek jangka panjang Able Global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - TA Research kekal optimis terhadap prospek jangka panjang Able Global Berhad walaupun kumpulan itu berdepan cabaran makroekonomi semasa.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selepas penyelarasan semula kadar pengeluaran dan penggunaa kemudahan di Malaysia, jumlah pengeluaran pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) dalam segmen makanan dan minuman (F&B).

 

Ia mencatatkan peningkatan ketara berbanding FY22 dengan kadar penggunaan sebanyak 61%.

 

"Rangsangan dalam pengeluaran ini boleh dikaitkan dengan peningkatan penggunaan produk tenusu dalam pangkalan pelanggan sasarannya.

 

"Bagaimanapun, kadar penggunaan yang lebih rendah dalam produk susu kering semasa 1HFY23 disebabkan oleh peruntukan sumber yang lebih mengutamakan produk dengan margin keuntungan yang lebih tinggi dan potensi penurunan permintaan untuk produk susu kering," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, segmen pembuatan bijih timah menurun sebanyak 15% disebabkan oleh pelarasan harga strategik berikutan kehabisan inventori kos tinggi dan sebagai cara untuk terus berdaya saing dalam keadaan pasaran yang sengit.

 

Peralihan kepada pembungkusan yang menjimatkan kos telah mengurangkan permintaan terhadap pembungkusan bijih timah, mengakibatkan penurunan 47% dalam keuntungan segmen itu, disebabkan hasil yang berkurangan dan kos pengeluaran yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos pengangkutan dijangka sama walaupun permintaan global meningkat didorong oleh perolehan sambutan Krismas.

 

Katanya, kos pengangkutan global yang melambung tinggi sebelum ini akibat gangguan COVID-19 telah beransur-ansur menjadi normal hasil daripada penyambungan semula aktiviti logistik global.

 

"Syarikat itu optimis bahawa kos itu boleh diurus walaupun terdapat pelarasan kos pengangkutan berikutan peningkatan persediaan jualan Krismas," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.50 sesaham. - DagangNews.com