KUALA LUMPUR 22 Dis - TA Research mengunjurkan prospek pemasaran pelbagai peringkat (MLM) Beshom Holdings Berhad kekal mencabar pada suku tahun akan datang.
Katanya, keadaan itu membuatkan kuasa membeli dalam kalangan ahli mereka menjadi lemah.
Pelanggan kumpulan itu lebih rela berbelanja untuk barangan kecil dengan harga yang agak rendah seperti produk penjagaan rambut, penjagaan mulut serta produk makanan dan minuman.
"Kami tetap berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan MLM tetapi pada masa sama menjangkakan jualan bertambah baik secara berperingkat dengan keadaan bertambah baik pada 2HFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen jualan borong dijangka berkembang pada 2HFY24 didorong jualan bagi musim perayaan dan pada masa sama kumpulan itu sedang berunding dengan China, Korea Selatan dan Arab Saudi bagi mendapatkan tempahan baharu.
Katanya, prospek bagi segmen runcit dijangka statik kerana pelanggan lebih berhati-hati sewaktu berbelanja akibat ketidaktentuan ekonomi semasa.
"Sementara itu, kami menjangkakan pembeli lebih tertarik untuk mendapatkan produk pengganti pada harga yang lebih berpatutan," katanya.
TA Research mengekalkan saranan 'jual' pada harga sasaran (TP) 71 sen sesaham. - DagangNews.com