TA Research yakin terhadap prospek perdagangan Malaysia dalam beberapa bulan akan datang | DagangNews Skip to main content

TA Research yakin terhadap prospek perdagangan Malaysia dalam beberapa bulan akan datang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - TA Research positif terhadap prospek perdagangan Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.

 

Firma itu berkata, walaupun terdapat penguncupan dalam eksport dan import Malaysia, namun lebihan dagangan menunjukkan pertumbuhan purata sebanyak 4.6% dari tahun ke tahun bagi bulan kedua dalam suku ketiga tahun ini.

 

Katanya, prestasi itu secara relatifnya adalah lebih baik daripada angka yang dicatatkan pada suku kedua iaitu -9.2% dari tahun ke tahun.

 

"Sekiranya Malaysia terus mengekalkan lebihan dagangan yang menggalakkan dalam beberapa bulan akan datang, ia diyakini boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan kesan asas yang tinggi pada suku ketiga 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, jumlah dagangan Malaysia mengalami penurunan ketara dari tahun ke tahun sebanyak 19.8% kepada RM213.01 bilion pada Ogos 2023.

 

BACA JUGA: Perdagangan Malaysia susut 19.8% kepada RM213 bilion pada Ogos 2023 - MITI

 

Penguncupan itu lebih ketara berbanding penurunan 14.5% dari tahun ke tahun yang dicatatkan dalam tempoh sebelumnya.

 

Pada asas bulanan, terdapat sedikit peningkatan, dengan penurunan dari bulan ke bulan sebanyak 1.5%, berbanding penurunan 2.7% pada Julai manakala lebihan dagangan Malaysia bagi bulan itu berjumlah RM17.31 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia berada pada paras 47.8, menunjukkan keadaan permintaan dalam sektor pembuatan negara kekal lemah pada Ogos.

 

Bagaimanapun, data itu masih sejajar dengan pertumbuhan sederhana jika dibandingkan dengan statistik rasmi.

 

"Kebanyakan pengeluar di Malaysia optimis, berharap pesanan baharu akan pulih dan menyokong keyakinan mereka bahawa pengeluaran akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang," katanya.- DagangNews.com