TA Securities anggarkan Senheng catat pertumbuhan pendapatan sehingga RM91.1 juta FY21-23 | DagangNews Skip to main content

TA Securities anggarkan Senheng catat pertumbuhan pendapatan sehingga RM91.1 juta FY21-23

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - TA Securities menganggarkan Senheng New Retail Bhd (SenHeng) mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 11.8%, 24.5% dan 17.7% kepada RM62.2 juta, RM77.4 juta dan RM91.1 juta masing-masing untuk FY21, FY22 dan FY23. 

 

Ujarnya, ia akan disokong oleh pertumbuhan hasil daripada pengembangan kedai format besar dan daya tarikan jualan ke atas platform dalam taliannya. 

 

"Unjuran kami adalah berdasarkan andaian FY21/22/23 pembukaan kedai format besar baharu termasuk Grand Senheng Elite, Grand Senheng dan Grand senQ sebanyak 12/19/18 unit bersama pengurangan bersih dalam kedai format kecil termasuk daripada Senheng, senQ masing-masing sebanyak 10/9/6 unit. 

 

"Selain itu pertumbuhan CAGR Jualan Dalam Talian sebanyak 13% bagi FY20-23 dan peningkatan sedikit dalam margin keuntungan kasar (GP) ke arah 21.6% pada FY23 daripada 20.9% pada FY20 disebabkan oleh skala ekonomi juga antara pemangkin pertumbuhan hasil Senheng," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

 Senheng merupakan peruncit rangkaian elektrik dan elektronik (E&E) pengguna terbesar di Malaysia dan umpulan itu mengendalikan beberapa format runcit fizikal utama iaitu Grand Senheng Elite, Grand Senheng dan Senheng, yang kebanyakannya merupakan kedai bersendirian berdekatan dengan kawasan perumahan kediaman bersama stesen digital senQ dan Grand senQ yang akan diperkenalkan pada FY22 yang terletak di pusat beli-belah.

 

Sebagai sebahagian daripada pengalaman runcit baharu, kumpulan itu komited dalam mengejar model runcit yang lancar untuk menyediakan pengguna pengalaman membeli-belah yang padu merentasi platform fizikal dan dalam taliannya bersama-samakedai format besar untuk memperkaya pengalaman pelanggan.

 

Bagi produk yang didagangkan, SenHeng mempunyai kira-kira 10,000 unit penyimpanan stok (SKU) daripada lebih 280 jenama yang dikumpulkan di bawah Alat Digital, Audio Visual, Peralatan Rumah dan Produk Lain. 

 

Kumpulan itu bercadang untuk menjana modal sehingga RM267.5 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadual pada 25 Januari 2022.  

 

Hasil daripada IPO yang dijana, Senheng bercadang menggunakan RM160.5 juta untuk membuka cawangan kedai baharu serta menaik taraf kedai sedia ada kepada kedai berkonsep yang lebih besar dan dipertingkatkan.   -DagangNews.com