TA Securities ramal Amway terus berdepan cabaran dalam industri jualan langsung pada 2HFY24 | DagangNews Skip to main content

TA Securities ramal Amway terus berdepan cabaran dalam industri jualan langsung pada 2HFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - TA Securities meramalkan Amway (Malaysia) Holdings Bhd terus berdepan cabaran berikutan tekanan yang dihadapi dalam industri jualan langsung pada 2HFY24.

 

Katanya, keadaan itu disebabkan peningkatan peluang pekerjaan sepenuh masa yang menawarkan jaminan yang lebih baik. 

 

Walaupun menawarkan insentif kepada Pemilik Perniagaan Amway (ABO) yang berterusan namun mereka meramalkan margin FY24 akan menyusut kepada 8%.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan kekal lemah berikutan ketidaktentuan dalam ekonomi global dan tekanan inflasi berterusan yang membawa kepada corak perbelanjaan yang lebih berhati-hati.

 

"Kumpulan itu dijangka mengekalkan kedudukan tunai bersihnya untuk FY24 hingga FY26.

 

"Kami menjangkakan hasil dividen kekal menarik, antara 6.4% hingga 7.1% pada FY24 hingga FY26, disokong oleh kedudukan tunai bersihnya yang lebih kukuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 2QFY24 kumpulan itu meningkat 38.3% kepada RM24.55 juta berbanding  RM17.74 juta didorong kenaikan harga dan peruntukan insentif jualan yang lebih rendah.

 

Hasil suku tahunan, bagaimanapun, merosot 13.7% kepada RM296.45 juta daripada RM343.69 juta, disebabkan permintaan pengguna yang lebih lemah, ditambah dengan perbandingan yang lebih tinggi pada suku tahun sebelumnya hasil daripada pembelian sebelum kenaikan harga.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM7.30 sesaham. - DagangNews.com