TA Securities semak turun unjuran pendapatan Elsoft 20.2% selepas ambil kira andaian jualan lemah | DagangNews Skip to main content

TA Securities semak turun unjuran pendapatan Elsoft 20.2% selepas ambil kira andaian jualan lemah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - TA Securities menyemak turun unjuran pendapatan Elsoft Research Bhd sebanyak 20.2% bagi FY24 selepas mengambil kira andaian jualan yang lebih rendah.

 

Katanya, pendapatan teras kumpulan itu pada 1HFY24 sebanyak RM2.1 juta adalah di bawah jangkaan dan hanya menyumbang 21.9% daripada anggaran tahunan penuh dan ia disebabkan permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan untuk peralatan ujian automatik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dari tahun ke tahun, untung teras 1HFY24 susut 59.9% disebabkan hasil yang lebih rendah kerana permintaan untuk peralatan ujian automatik masih belum pulih manakala hasil turun 21.4% kepada RM8.4 juta daripada RM10.7 juta.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan kumpulan itu akan keputusan kewangan lebih baik pada suku akan datang dipacu pemulihan permintaan semikonduktor global.

 

"Pada masa sama pendapatan kumpulan itu akan meningkat secara beransur-ansur," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung teras 2QFY24 melonjak 33% kepada RM1.2 juta walaupun hasil kumpulan itu susut 16.3% kepada RM3.8 juta.

 

Keuntungan yang lebih kukuh itu didorong sumbangan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.

 

TA Securities berkata, kunci kira-kiranya kekal kukuh dan bebas hutang dan kedudukan tunai bersih RM89.5 juta atau 12.9sen/saham pada akhir 2QFY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk permintaan lebih rendah daripada jangkaan untuk peralatan ujian automatik dan ketegangan geopolitik yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan mengganggu rantaian bekalan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 58 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com