TA Securities tingkatkan unjuran harga minyak mentah Brent kepada AS$83.5 setong bagi 2023 | DagangNews Skip to main content

TA Securities tingkatkan unjuran harga minyak mentah Brent kepada AS$83.5 setong bagi 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - TA Securities menaikkan taraf saranan sektor minyak dan gas kepada ‘overweight’ dan meningkatkan unjuran harga minyak mentah Brent bagi 2023 kepada AS$83.5 setiap tong minyak mentah (bbl) dan memperkenalkan ramalan harga minyak 2024 pada AS$85/bbl.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia yakin terhadap harga minyak disebabkan harga minyak meningkat berikutan pemotongan bekalan sukarela, prospek permintaan berdaya tahan mengatasi bekalan dan pengisian semula inventori rizab petroleum strategik (SPR).

 

“Penyedia perkhidmatan huluan seperti Velesto Energy Bhd (beli, harga sasaran (TP): 33 sen), Pantech Group Holdings Bhd (beli, TP:RM1.08) dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (beli, TP: 64 sen) berada di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perbelanjaan modal lebih tinggi dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran huluan,” ujarnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Walaupun pengeluaran minyak dikurangkan oleh OPEC, firma itu berkata Amerika Syarikat (AS) telah meningkatkan pengeluaran minyak mentah sejak beberapa bulan lalu.

 

Memetik laporan produktiviti penggerudian Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA), TA Securities berkata ia mendedahkan bahawa telaga yang digerudi tetapi belum siap (DUC) di AS telah menurun sejak memuncak pada Jun 2020 walaupun telaga yang baru digerudi secara konsisten kekal melebihi 900.

 

Ini menunjukkan bahawa telaga baharu terus digerudi tetapi penyiapan telaga dipercepatkan untuk memanfaatkan harga minyak yang kukuh, tambahnya.

 

Malah, pengeluaran minyak mentah AS telah meningkat sebanyak 276,000 bbl sehari pada Jun 2023 dan sbaliknya, pengeluaran OPEC terkini pada Ogos 2023 turun 1.3 juta bbl sehari berbanding Januari tahun ini

 

Memandangkan DUC semakin banyak beroperasi, firma itu berkata pengeluaran minyak mentah di AS dijangka terus meningkat.

 

“Namun begitu, kami tidak menjangkakan peningkatan pengeluaran minyak AS akan mengisi sepenuhnya kekosongan yang ditinggalkan oleh negara-negara OPEC.

 

“Pemotongan pengeluaran sukarela akan mengekalkan harga minyak dengan pemotongan bekalan OPEC yang lebih luas menyebabkan harga minyak kukuh,” katanya.  - DagangNews.com