TA Securities turunkan unjuran pendapatan Farm Fresh sebanyak 6.8% bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

TA Securities turunkan unjuran pendapatan Farm Fresh sebanyak 6.8% bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - TA Securities mengurangkan unjuran pendapatan Farm Fresh Berhad sebanyak 6.8% bagi mencerminkan pemulihan margin keuntungan kasar yang lebih perlahan daripada jangkaan pada FY24.

 

Katanya, untung bersih teras 1HFY24 sebanyak RM16.6 juta kumplan itu tidak mencapai jangkaan, masing-masing berada pada paras 26% dan 24% daripada anggaran tahun penuh dan konsensus, selepas pengecualian item sekali sahaja.

 

Ia disebabkan perbelanjaan pengiklanan dan pemasaran yang lebih tinggi yang mengimbangi peningkatan dalam margin keuntungan kasar.

 

"Kami percaya bahawa pemulihan margin keuntungan kasar sebanyak 22.2% boleh dikaitkan dengan pengurangan inventori kos tinggi ditambah dengan jumlah pengeluaran yang lebih rendah pada 1QFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung operasi, sebelum cukai Farm Fresh merosot sebanyak RM4.7 juta dan RM7.1 juta pada 2QFY24

 

Terdahulu, keuntungan operasi dan sebelum cukai Farm Fresh Berhad masing-masing merosot sebanyak RM4.7 juta dan RM7.1 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2023 (2QFY24).

 

Ia juga disebabkan perbelanjaan pemasaran yang lebih tinggi untuk pelancaran produk baharu, kos kewangan yang lebih tinggi, kerugian nilai saksama pada penilaian aset biologi sebanyak RM900,000 juta dalam tempoh semasa berbanding untung nilai saksama sebanyak RM400,000 bagi tempoh sama.

 

Selain itu mereka juga berdepan yuran profesional berkaitan pengambilalihan Inside Scoop bagi tempoh semasa.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu kekal berhati-hati kerana jangkaan kesan penurunan pengeluaran susu Australia terhadap margin keuntungan kasarnya.

 

Katanya, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berlaku penurunan hasil pengeluaran di Australia dan New Zealand berpuca daripada musim hujan yang berterusan, yang berpotensi meningkatkan kos.

 

Selain itu, pelancaran produk tenusu dengan harga yang lebih kompetitif di Australia mengehadkan ruang bagi pelarasan harga sekali gus menimbulkan risiko margin yang lebih tipis kepada penternak dan pengusaha susu.

 

"Kumpulan itu memperoleh tempahan bahan tenusu pada harga yang memuaskan sehingga Mei 2024, menawarkan kelegaan daripada tekanan kos yang berpanjangan dan mengurangkan kebimbangan segera terhadap potensi kekangan margin," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.52 sesaham.- DagangNews.com