TA Securities unjur buah tandan segar Kim Loong Resources berkembang 5% pada FY25 | DagangNews Skip to main content

TA Securities unjur buah tandan segar Kim Loong Resources berkembang 5% pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - TA Securities mengunjurkan buah tandan segar (BTS) Kim Loong Resources Bhd berkembang 5% pada FY25. 

 

Katanya, walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) tidak menetu baru-baru ini, pengurusan kumpulan berharap purata harga RM4,000 bagi setiap tan kekal stabil pada FY25.

 

Firma penyelidikan itu berkata, persekitaran kos yang semakin meningkat memberikan cabaran besar kepada kumpulan itu bagi mengekalkan kecekapan kos, kumpulan telah melaksanakan strategi yang berkesan bagi mengurangkan kesan itu.

 

"Kumpulan itu berjaya mewujudkan aliran pendapatan baharu daripada menjual cengkerang sawit kepada pihak ketiga.

 

"Sumber pendapatan tambahan ini, ditambah dengan hasil yang dijana daripada loji pengekstrakan pelarutnya, telah membantu mengimbangi perbelanjaan yang meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

TA Securities berkata, tumpuan utama kumpulan adalah kembali kepada trajektori pertumbuhan.

 

Katanya, perbelanjaan modal (capex) untuk FY25 diunjur sekitar RM60 juta, diperuntukkan untuk menaik taraf peralatan kilang dan usaha penanaman semula, dengan tambahan AS$80 juta bagi pembinaan kilang baharu di Sarawak dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun akan datang.

 

"Walaupun dasar dividen rasmi menyasarkan pengagihan keuntungan 30%, kumpulan itu telah membayar lebih 80% secara konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

"Bagaimanapun, pada FY24, pembayaran dividen berkurangan sedikit disebabkan oleh tekanan pendapatan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mengekalkan kadar penanaman semula kira-kira 1,000 hekatar setahun, yang dijangka berterusan dalam tempoh lima tahun akan datang dan mereka juga akan berusaha meningkatkan pengeluaran kepada 350,000 tan daripada anggaran 330,000 tan pada FY24.

 

Kadar pengekstrakan minyak (OER) kini berada pada 20.61% dengan purata hasil MSM sebanyak 4.58 tan/hektar, mengatasi purata nasional bagi Malaysia.

 

Katanya, kumpulan itu sentiasa berusaha mengembangkan bank tanahnya tetapi menghadapi cabaran disebabkan oleh harga tanah yang tinggi dan sekatan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Kumpulan itu juga menerokai ladang kelapa, yang dalam peringkat percubaan, sebagai kawasan yang berpotensi untuk pertumbuhan dan kepelbagaian pendapatan," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM2.50 sesaham- DagangNews.com