TA Securities unjur kadar purata pengganguran pada paras 3.4% bagi tahun penuh 2023 | DagangNews Skip to main content

TA Securities unjur kadar purata pengganguran pada paras 3.4% bagi tahun penuh 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Dis - TA Securities mengunjurkan kadar purata pengangguran bagi tahun penuh 2023 adalah pada paras 3.4% mengatasi 3.8% yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

Firma penyelidikan percaya bahawa pasaran tenaga kerja Malaysia kekal stabil pada bulan-bulan akan datang didorong ekonomi domestik yang berdaya tahan.

 

Katanya, trajektori positif itu dijangka terus menjana peningkatan permintaan untuk tenaga kerja, berfungsi sebagai pemacu penting bagi kestabilan ekonomi berterusan.

 

"Jika trend positif ini berterusan, kadar pengangguran akan kekal pada kadar semasa sehingga akhir tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah penganggur menurun 3.4% kepada 570,900 orang pada Oktober 2023 – DOSM

 

Terdahulu, pasaran tenaga kerja pada Oktober 2023 terus mengukuh, berikutan aktiviti ekonomi semasa yang menggalakkan, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran semakin berkurangan. 

 

Pada tahun yang akan datang, firma penyelidikan itu menjangkakan kadar pengangguran terus mencatatkan penurunan didorong oleh pelbagai inisiatif dan peruntukan yang bertujuan untuk meluaskan peluang kerjaya untuk pelbagai komuniti dan kumpulan sasaran.

 

Katanya, tenaga kerja merangkumi individu yang bekerja dan menganggur, menyaksikan pengembangan dari bulan ke bulan sebanyak 0.1% atau pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 1.7% pada Oktober 2023, mencecah sejumlah 16.97 juta individu.

 

Pertumbuhan itu menunjukkan tahap penglibatan yang sihat dalam pasaran tenaga kerja dengan kadar penyertaan sebanyak 70.1%.

 

"Sementara itu, bilangan individu di luar tenaga kerja kekal stabil pada asas tahunan, tetapi terdapat penurunan minimum dari bulan ke bulan sebanyak 0.02%, berjumlah 7.24 juta orang," katanya. - DagangNews.com