TA Securities unjur sentimen terhadap sektor semikonduktor Malaysia bertambah baik dipacu pemulihan permintaan global | DagangNews Skip to main content

TA Securities unjur sentimen terhadap sektor semikonduktor Malaysia bertambah baik dipacu pemulihan permintaan global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - TA Securities mengunjurkan sentimen terhadap sektor semikonduktor di Malaysia bertambah baik dipacu pemulihan permintaan di peringkat global serta peningkatan peluang perdagangan kesan daripada startegi China Plus One.

 

Katanya, pasaran global menyaksikan pertumbuhan jualan kukuh pada Mei 2024, mencecah AS$49.1 bilion (RM230.25 bilion) meningkat 4.1% bulan ke bulan dan 19.3% dari tahun ke tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan itu menandakan jualan paling kukuh sejak April 2022. 

 

"Kami mengambil peluang ini untuk menyemak semula harga sasaran (TP) untuk semua syarikat semikonduktor di bawah liputan kami, selepas memasukkan premium/diskaun ESG (amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus) berdasarkan garis panduan dalaman terkini," katanya.

 

Inari Amertron Bhd (TP: RM4.33) merupakan pilihan utama TA Securities selepas kumpulan itu mencatatkan pendapatan kukuh, didorong segmen frekuensi radio dan projek ujian produk serta pembungkusan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

 

Katanya, kilang baharu Inari di China juga akan memacu pendapatan mereka pada masa hadapan.

 

Sementara itu, TA Securities mengekalkan saranan 'pegang' untuk Unisem (M) Bhd (TP: RM4.50), Malaysian Pacific Industries Bhd (TP: RM42.30) dan Elsoft Research Bhd (TP: 62 sen).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran semikonduktor berada pada laluan pemulihan yang kukuh.

 

Katanya, wilayah utama yang memacu pertumbuhan itu termasuk Amerika Syarikat (43.6%), China (24.2%) dan Asia-Pasifik (13.8%).

 

"Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan daripada AI generatif, pengkomputeran awan dan peranti lanjutan. China dan Taiwan akan mendahului dalam pengembangan kapasiti," katanya.

 

Ia menyatakan bahawa pembuat cip China ditetapkan untuk mencatatkan peningkatan 14% dalam pengeluaran kepada 10.1 juta wafer sebulan. Taiwan dijangka menyaksikan peningkatan 4% kepada 5.8 juta wafer sebulan menjelang 2025. - DagangNews.com