Tabung Haji gilap bakat 88 pelajar melalui Siri Program Kepimpinan Muda TH | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji gilap bakat 88 pelajar melalui Siri Program Kepimpinan Muda TH

Sebahagian para peserta terlibat ketika melakukan aktiviti dalam kumpulan ketika Siri Program Kepimpinan Muda TH 2024 di Menara TH, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Siri Program Kepimpinan Muda TH 2024 melibatkan seramai 88 pelajar sekolah menengah dari serata daerah Selangor sebagai usaha menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

 

TH memaklumkan, program yang turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor itu diadakan selama dua hari bermula 5 Februari 2024 di Menara TH Tun Razak, di sini.

 

Ia menghimpunkan pemimpin pelajar dan juga pelajar cemerlang daripada 22 buah sekolah luar bandar terpilih yang mempunyai potensi untuk meningkatkan kemahiran daya kepimpinan melalui pelbagai pengisian yang interaktif dan bermanfaat. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, penganjuran program kemasyarakatan yang julung kali diadakan itu merupakan satu platform perkongsian ilmu dan menimba pengalaman daripada tokoh-tokoh industri yang berjaya bagi menyemai tunas inspirasi kepada para peserta.

 

"Sebagai sebuah institusi pengurusan haji negara dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, TH berasa terpanggil untuk menyediakan ruang dan peluang bagi para pemain industri dan profesional daripada pelbagai organisasi yang unggul termasuklah TH sendiri untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka kepada generasi pelapis yang bakal mengemudi sesebuah organisasi mahupun pentadbiran negara pada masa akan datang.

 

"TH amat prihatin dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap sebarang usaha pembangunan generasi muda terutamanya dalam kalangan pelajar luar bandar yang mungkin lebih memerlukan dari sudut pendedahan serta kemudahan dan kelengkapan pembelajaran agar dapat bergerak seiring dengan kemajuan semasa.

 

 

th
Syed Hamadah Syed Othman

 

 

"Justeru, TH mencetuskan idea untuk membina satu program modul kepimpinan yang kolektif bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berkualiti sekaligus menjadi duta remaja TH," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Tambah Syed Hamadah, pihaknya berharap inisiatif itu dapat mendedahkan anak-anak muda kepada suasana dunia korporat di samping membantu memantapkan kemahiran dan menyemai keyakinan mereka bagi mendepani cabaran masa hadapan dan menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

 

 

th
Tan Sri Sharil Ridza Ridzuan

 

 

Menurut TH, program kali ini menampilkan tokoh industri terkenal iaitu Pengerusi Axiata Group Bhd,  Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan, yang berkongsi kepada para peserta mengenai falsafah kepimpinan, kualiti yang diperlukan, cabaran dan pengajaran daripada pengalaman peribadi sepanjang karier beliau.

 

 

th

 

 

th

 

 

Katanya, para peserta juga telah mengikuti modul pemantapan sahsiah rohani melalui sesi ceramah oleh selebriti terkenal, Ustaz Mohd Fakhrul Radhi Khamarudinyang juga merupakan ahli kumpulan nasyid UNIC. 

 

 

th

 

 

th

 

 

"Di samping itu, kemahiran kepimpinan para peserta turut diuji melalui pelbagai aktiviti berkumpulan yang turut melibatkan pengurusan tertinggi TH sendiri," katanya. - DagangNews.com