Tabung Haji keluar surat tawaran tunai haji kepada 14,306 bakal jemaah hari ini | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji keluar surat tawaran tunai haji kepada 14,306 bakal jemaah hari ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 April - Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengeluarkan surat tawaran tunai haji kepada 14,306 bakal jemaah bagi musim haji 1443H/2022M mulai hari ini.

 

Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bakal jemaah haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my dan memuat naik aplikasi ThiJARI bagi menyemak dan menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan.

 

"Disebabkan kesuntukan masa, pihak kami mohon kerjasama semua bakal haji tahun ini untuk menjawab sama ada setuju atau tidak untuk menerima tawaran haji tahun ini dalam masa 7 hari bekerja dari tarikh surat berkenaan” katanya dalam satu kenyataan.

 

Syed Saleh berkata, semua bakal haji diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan bagi memperolehi visa haji sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. 

 

“Para bakal haji terpilih perlu mendapatkan Buku Rekod Rawatan di mana-mana cawangan TH yang berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan dilakukan serta mendapat suntikan Meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW-135 yang boleh dilakukan di hospital kerajaan ataupun di klinik-klinik yang diiktiraf Kementerian Kesihatan. Bakal haji juga perlu melengkapkan dos pengalakan vaksin COVID-19.

 

“Bakal haji juga digalakkan mengambil suntikan Imunisasi pilihan iaitu Influenza dan Pneumococal sebelum berlepas untuk membina daya pertahanan badan semasa di Tanah Suci sebagaimana yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

 

Setelah selesai pemeriksaan kesihatan, para bakal haji diminta untuk menghantar jawapan surat tawaran haji, buku rekod rawatan dan pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangan TH yang berhampiran.

 

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan TH, sila lawati www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. - DagangNews.com