KUALA LUMPUR 14 Mac - Lembaga Tabung Haji (TH) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) bekerjasama membangunkan sistem e-Learning Haji bagi membantu bakal jemaah mempelajari dan menambah ilmu ibadat haji secara dalam talian dengan efektif dan mudah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, e-Learning Haji turut menyediakan kemudahan untuk guru-guru agama yang berperanan sebagai Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan petugas-petugas haji memperkukuhkan ilmu ibadat haji serta pengurusan yang berkaitan dengannya.
“TH sentiasa komited dalam memenuhi mandat untuk menambah baik perkhidmatan yang disediakan bagi memudahkan umat Islam Malaysia menunaikan ibadat haji. Projek e-Learning Haji ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta dan merupakan salah satu kos tidak langsung yang ditanggung oleh TH selain kos-kos langsung termasuk bantuan kewangan haji yang mencecah RM300 juta saban tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara TH dan UTP bagi membangunkan sistem e-Learning Haji, yang berlangsung di Menara TH, di sini, hari ini.
Perjanjian e-learning tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, manakala UTP diwakili Timbalan Naib Censelor Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan, Prof. Ir Dr Mohd Shahir Liew.
Projek e-Learning Haji adalah sebahagian daripada inisiatif pelan strategik TH iaitu HIJRAH24 untuk memperkasakan bimbingan haji dan memenuhi kepuasan pelanggan, sepertimana yang terkandung dalam Rangka Tindakan Pengurusan Haji (2021-2025).
Sementara itu, Naib Canselor UTP, Profesor Ts. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, UTP telah bergiat aktif dalam pelbagai inisiatif e-learning dengan menggabungkan pedagogi yang tepat dan teknologi yang bersesuaian serta kandungan pembelajaran yang mikro untuk memastikan pengalaman pembelajaran yang optimum kepada pengguna yang disasarkan.
“Melalui kerjasama di antara TH dan UTP ini, ia dapat merangsangkan lagi pembangunan produk atau perisian bagi memperkasakan aspek pengkomersialan teknologi selari dengan visi UTP untuk menjadi peneraju di dalam pendidikan teknologi dan pusat kecermerlangan kreativiti dan inovasi.
"Sebagai universiti yang berstatus MSC, kami juga berhasrat menjadi rakan kongsi serta penyelesaian teknologi dan digital bagi industri menerusi kepakaran, pengalaman serta kemudahan penyelidikan terkini kami yang memenuhi keperluan dan standard industri,” katanya.
Beliau berkata, dengan kerjasama ini juga, warga kerja TH berpeluang melanjutkan pengajian peringkat pascasiswazah di UTP bagi membangunkan tenaga kerja TH secara mampan melalui perkongsian kemahiran dan pengetahuan dengan ahli-ahli fakulti UTP.
“UTP memberi fokus dalam menangani cabaran megatrend dunia menerusi enam institusi penyelidikannya, yang bertemakan kehidupan pintar dan kelestarian tenaga. Dengan menyelaraskan bidang tumpuannya dan masalah industri bersama syarikat induknya, Petronas, ia membolehkan UTP berada di barisan hadapan untuk kekal sebagai sebuah institusi relevan bagi menuju ke arah keunggulan global yang mampan,” katanya.
Bermula tahun 2020, TH juga telah melaksanakan bimbingan haji secara dalam talian apabila negara dan dunia dilanda wabak COVID19.
Pada Disember tahun lalu, TH telah melancarkan aplikasi e-TAIB atau Talian Ibadat Haji yang dibangunkannya bagi memudahkan urusan para jemaah yang mempunyai sebarang kemusykilan dan persoalan berkaitan hukum-hakam semasa berada di Tanah Suci melalui perbualan langsung (live chat) bersama Pembimbing Ibadat Haji. - DagangNews.com