Tabungan negara kasar catat peningkatan 19.1% kepada RM402.6 bilion pada 2021 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Tabungan negara kasar catat peningkatan 19.1% kepada RM402.6 bilion pada 2021 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Tabungan negara kasar (TNK) mencatatkan peningkatan sebanyak 19.1% kepada RM402.6 bilion pada 2021, berbanding RM337.9 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada segi institusi, sektor perbadanan bukan kewangan mencatatkan tabungan kasar tertinggi dengan RM283.3 bilion (sumbangan 70.4%).

 

Katanya, ia diikuti isi rumah dengan RM80.8 bilion (sumbangan: 20.1%) dan sektor kerajaan am dengan RM21.8 bilion (sumbangan: 5.4%).

 

"Selebihnya tabungan kasar sektor perbadanan kewangan yang berjumlah RM16.7 bilion atau 4.1% daripada TNK," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, pendapatan boleh guna isi rumah meningkat 2.8% berbanding penurunan 4.1% pada tahun sebelumnya, yang mana pertumbuhan itu disumbangkan penerimaan faedah sosial yang lebih tinggi dan peningkatan dalam kadar penyertaan tenaga buruh.

 

"Ini menyebabkan penggunaan akhir atau perbelanjaan isi rumah meningkat pada 2021 dengan mencatatkan pertumbuhan 3.7% (2020: -4.3%).

 

"Oleh itu, kadar tabungan isi rumah Malaysia ialah 8.3% (2020: 8.5%) daripada pendapatan boleh guna isi rumah (termasuk pelarasan bagi perubahan dalam kelayakan pencen) pada 2021," katanya.

 

 

DOSM

 

 

Mengulas lanjur, ekonomi Malaysia adalah pemberi pinjaman bersih kepada sektor luaran dengan RM59.7 bilion atau 3.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021.

 

Pemberian pinjaman bersih (+) atau pinjaman bersih (-) mewakili perubahan dalam nilai bersih disebabkan oleh tabungan dan pemindahan modal yang digunakan untuk membiayai pembentukan modal atau pelaburan.

 

Sektor perbadanan bukan kewangan memegang kedudukan pemberian pinjaman bersih sebanyak RM119.1 bilion atau 7.7% daripada KDNK.

 

Kedua-dua sektor isi rumah dan syarikat kewangan juga mencatatkan kedudukan pinjaman bersih masing-masing RM28.3 bilion (1.8% daripada KDNK) dan RM4.6 bilion (0.3% daripada KDNK).

 

Namun begitu, sektor kerajaan am mempunyai kedudukan pinjaman bersih dalam ekonomi dengan jumlah RM92.3 bilion (-6% daripada KDNK) pada 2021. - DagangNews.com