Tahun Baru Cina: PLUS saran masuk lebuh raya sebelum pukul 9 pagi pada 19 hingga 22 Januari 2023 | DagangNews Skip to main content

Tahun Baru Cina: PLUS saran masuk lebuh raya sebelum pukul 9 pagi pada 19 hingga 22 Januari 2023

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dari Lembah Klang yang menghala ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor di antara 19 Januari hingga 22 Januari ini dinasihatkan supaya mula memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum pukul 9 pagi.

 

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan, ia bagi mengelakkan mereka daripada bertembung dengan perjalanan pengguna yang menghala ke destinasi yang lebih dekat pada cuti perayaan Tahun Baru Cina akan datang. 

 

Katanya, saranan tersebut diberikan berikutan jangkaan sebanyak 2 juta kenderaan sehari bakal menggunakan lebuh raya pada setiap hari puncak pada musim perayaan itu.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, cadangan tersebut adalah berdasarkan analisa PLUS tentang data corak perjalanan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan pada musim perayaan yang lalu. 

 

Beliau berkata, Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) pada kali ini turut berperanan untuk mengelakkan kenderaan ke pelbagai destinasi bertemu di lokasi-lokasi ‘hot spot’ tertentu di lebuh raya dan terperangkap di dalam kesesakan.

 

Menurutnya, TTA merupakan salah satu daripada strategi pengagihan trafik yang digunakan oleh PLUS pada musim perayaan bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa.

 

“Namun begitu, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian-kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

plus

 

 

Katanya, berdasarkan TTA tersebut, pengguna yang menghala ke destinasi-destinasi lain yang lebih hampir dengan Lembah Klang dinasihatkan mula memasuki Lebuhraya Utara-Selatan di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

 

“Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan untuk keluar dari Lembah Klang sebelum cuti Tahun Baru Cina, tetapi juga bagi perjalanan mereka pulang ke Lembah Klang selepas bercuti,” katanya.

 

Tambahnya, pengguna RFID pula dinasihatkan supaya memastikan baki e-dompet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya. 

 

"Pastikan anda masuk dan keluar dari plaza tol menggunakan mod pembayaran yang sama, iaitu jika masuk dari plaza tol menggunakan lorong RFID, anda juga mestilah keluar menggunakan lorong RFID," katanya. - DagangNews.com