Westports rekod kenaikan untung bersih 11.4% pada 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

Westports rekod kenaikan untung bersih 11.4% pada 1QFY24

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Mei - Westports Holdings Bhd melaporkan peningkatan untung bersih sebanyak 11.4% kepada RM204.51 juta untuk suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) berbanding RM183.59 juta bagi tempoh sama setahun sebelumnya.

 

Peningkatan ini disumbangkan oleh pendapatan segmen kontena yang lebih tinggi, pendapatan kewangan yang diperkukuh dan hasil yang lebih baik daripada usaha sama. 

 

Hasilnya, pendapatan sesahamnya (EPS) untuk 1QFY2024 lebih tinggi pada 6 sen berbanding 5.38 sen untuk 1QFY2023.

 

Pendapatan Westports bagi suku tersebut meningkat 5.9% tahun ke tahun kepada RM543.15 juta daripada RM512.92 juta. 

 

Westports menyaksikan volum kontena yang dikendalikan meningkat 5% kepada 2.67 juta TEU manakala ia mengendalikan kargo pukal berjumlah 2.76 juta tan.

 

Sementara itu,Westports meramalkan kadar pertumbuhan satu angka berbanding tahun sebelumnya kecuali terdapat konflik yang ketara di luar Timur Tengah dan penurunan mendadak ekonomi di negara-negara perdagangan utama.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Konflik Laut Merah terus mengganggu perdagangan Asia-Eropah, kata Kenanga Research

 

Pengerusi Eksekutif dan pengarah Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah dalam kenyataan menekankan impak Laut Merah terhadap penghantaran kontena dan penyesuaian dalam laluan perdagangan Asia-Eropah kerana kapal-kapal mengambil laluan yang lebih jauh melalui Tanjung Harapan, Afrika. 

 

RUBEN
RUBEN EMIR GNANALINGAM ABDULLAH

 

Beliau menyatakan keyakinannya bahawa gangguan terhadap jadual penghantaran yang berlaku dalam suku pertama akan berkurang apabila perkhidmatan menjadi lebih teratur.

 

"Perdagangan serantau di dalam Asia menjadi asas pertumbuhan kontena Westports kerana laluan perdagangan ini menyumbang sebanyak 68% daripada keseluruhan kontena yang dikendalikan," katanya.- DagangNews.com