Jualan hartanah SP Setia 1QFY24 hambar akibat kekurangan projek baharu - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Jualan hartanah SP Setia 1QFY24 hambar akibat kekurangan projek baharu - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Mei - Penjualan projek hartanah yang sedang dijalankan SP Setia Berhad pada suku pertama tahun 2024 (1Q24) kelihatan hambar.

 

Menurut RHB Investment Bank, kecuali jualan beberapa bidang tanah miliknya, SP Setia didapati tidak banyak melaksanakan pelancaran projek baharu.

 

"Walaupun begitu, pihak pengurusan berhasrat untuk melancarkan beberapa projek bernilai RM4.5 bilion tahun ini. 

 

"Oleh itu, kami percaya syarikat ini mampu untuk mencapai sasaran jualannya RM4.4 bilion sebelum akhir tahun ini, yang turut melibatkan jualan tanah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment dalam pada itu menaikkan perolehan FY24F sebanyak 15% selepas menerima
keuntungan menerusi penjualan tanah. 

 

Kata firma penyelidikan itu, setakat 4Q23, jualan belum dibil mencecah RM5.38 bilion berbanding RM5.6 bilion.

 

"Selaras dengan peningkatan nilai yang dialami sektor secara amnya, kami bertindak menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.72 sesaham, berdasarkan diskaun 45% pada nilai aset bersih dinilai semula (RNAV). 

 

"Diskaun/premium 0% turut diberikan ekoran markah ESG-nya iaitu 3 daripada 4, yang menyamai paras median negara," jelasnya.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, SP Setia mencatatkan jumlah jualan baru keseluruhan sebanyak RM1.42 bilion dalam 1QFY24, lebih tinggi daripada jualan baru sebanyak RM1.2 bilion dalam 4QFY23. 

 

Katanya, kenaikan jualan baru utamanya disokong oleh jualan tanah sebanyak RM731 juta dalam 1QFY24. 

 

"Jualan baru dalam 1QFY24 berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pengurusan sebanyak RM4.4 bilion untuk FY24. 

 

"Sementara itu, pengurusan menjangkakan jualan hartanah baru akan meningkat dalam suku yang berbaki disebabkan oleh peningkatan pelancaran," katanya yang memberi saranan Beli dengan TP baharu, RM1.68 sesaham.- DagangNews.com