Untung bersih CIMB pada suku pertama 2024 melonjak 17.7% kepada RM1.94 bilion | DagangNews Skip to main content

Untung bersih CIMB pada suku pertama 2024 melonjak 17.7% kepada RM1.94 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Untung bersih CIMB Group Holdings Bhd pada suku pertama berakhir pada 31 Mac 2024 (1QFY4) meningkat 17.7% kepada RM1.94 bilion didorong pertumbuhan pendapatan operasi yang kukuh serta kawalan kos efektif.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, hasil bagi suku berkenaan juga melonjak kepada RM5.6 bilion berbanding RM4.99 juta pada 1QFY23.

 

Katanya, prestasi positif itu diterjemahkan kepada peningkatan pulangan ekuiti (ROE) kepada 11.4% berbanding 10.3% pada tahun lalu selain pendapatan sesaham sebanyak 18.2 sen.

 

CIMB berkata, pendapatan operasi bagi suku pertama meningkat 12.6% kepada RM5.63 bilion, didorong oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII).

 

"NII meningkat 7.7% kepada RM3.79 bilion disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang teguh dan pemulihan margin untung bersih (NIM) dalam buku perbankan, manakala NOII meningkat 24.5% kepada RM1.84 bilion.

 

"Ia disokong oleh pasaran modal yang kukuh dan pendapatan berkaitan pelaburan, serta sebagai keuntungan daripada penjualan pinjaman tidak berbayar," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, jumlah pinjaman kasar meningkat 7% merentas pasaran dan segmen utama, terutamanya di Singapura yang meningkat 13.1%. 

 

Katanya, deposit meningkat sebanyak 8.2%, didorong pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) 16.8% yang diterjemahkan kepada nisbah CASA yang lebih baik sebanyak 40.8% pada Mac 2024 berbanding 37.9% pada Mac tahun lalu.

 

Nisbah kos kepada pendapatan (CIR) kumpulam bertambah baik kepada 45.3% disebabkan oleh pengembangan pendapatan operasi yang kukuh yang mengimbangi peningkatan 8.9% dalam perbelanjaan operasi pada suku pertama 2024 daripada tekanan inflasi dan pelaburan teknologi.

 

"Sementara itu, jumlah peruntukan adalah sebanyak RM503 juta dengan kos kredit pada 35bps berbanding 37bps yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

 

"Kedudukan modal kumpulan kekal kukuh dan melebihi sasaran dengan nisbah ekuiti biasa peringkat 1 (CET1) pada 15% pada akhir Mac 2024, meningkat daripada 14.3% pada akhir Mac 2023 dan 14.5% pada akhir Disember 2023," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, Prestasi kukuh yang dilihat pada suku pertama mencerminkan permulaan positif tahun kewangan di tengah-tengah persekitaran global yang mencabar dan tidak menentu.

 

Beliau berkata, pertumbuhan hasil positif ini mengandungi kos dan peruntukan yang menyumbang kepada prestasi kukuh, terutamanya dari Malaysia dan Singapura, yang menyokong kekuatan strategi kepelbagaian ASEAN.

 

"Pelaksanaan inisiatif yang tertumpu di bawah pelan strategik Forward23+ kami terus membuahkan hasil yang positif, dengan pertumbuhan CASA yang kukuh dan pemulihan NIM daripada strategi yang diterajui deposit yang membantu memacu prestasi NII yang lebih baik.

 

"Pada masa yang sama, pengembangan NOII kekal teguh dan metrik kualiti aset terus kukuh, mencerminkan daya tahan perniagaan francais kami," katanya.

 

Beliau berkata, ketika kumpulan meneruskan ke arah penyelesaian pelan strategik Forward23+, kami fokus untuk mencapai objektif kami dengan penekanan berterusan terhadap pengukuhan deposit dan francais CASA , mengurus NIM, memacu pengembangan NOII, serta memfokuskan pada teknologi dan daya tahan operasi.

 

"Dari segi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kami juga berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran terkumpul kewangan mampan sebanyak RM100 bilion menjelang akhir FY24 sebagai sebahagian daripada cita-cita kumpulan untuk menjadi peneraju kemampanan ASEAN, dipandu kerangka Perkhidmatan dan Produk Berimpak Kelestarian, Sosial serta Hijau (GSSIPS)," katanya. - DagangNews.com