IPOH 27 April - Sasaran untuk menarik kehadiran lapan juta pelancong pada Tahun Melawat Perak 2024 dilihat sukar dicapai kerana tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan.
Jumlah tersebut tidak termasuk kira-kira 350,000 pelancong luar negara yang disasarkan.
Ini kerana kerajaan negeri Perak ketika ini dilihat tidak agresif mempromosikan lokasi pelancongan yang ada, sebaliknya hanya memberi fokus pada kawasan tertentu.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Perak, Zamari Muhyi berkata, usaha itu juga tidak menggambarkan persediaan bagi menyambut Tahun Melawat Perak 2024.
Menurut beliau, sepatutnya semua pihak ketika ini sedang rancak membuat persediaan untuk acara besar itu yang berbaki lapan bulan.
“Mencapai sasaran itu bukanlah mudah. Kerjasama antara kerajaan negeri dan penggiat industri perlu seiring dan diteruskan.
“Menerusi pemerhatian kami, kerajaan negeri hanya menumpukan kepada kluster pelancongan Lenggong, Gerik dan Royal Belum.
"Lima kluster lain tidak dipandang serius terutamanya Greater Ipoh meliputi Batu Gajah, Kampar, Tapah, Taiping dan Kuala Kangsar yang dianggap tidak perlu lagi diberikan fokus," ujarnya.
Kata Zamri, adalah satu kerugian apabila kerajaan negeri sekarang tidak meneruskan apa yang telah dilakukan pentadbiran lalu dalam merancakkan pelancongan Perak.
Ini termasuk kerjasama erat yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelancongan.
“Sebelum ini Tourism Perak semasa diterajui exco, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi bekerjasama rapat dengan 12 NGO pelancongan yang mana ahli-ahlinya adalah usahawan pelancongan.
"Sebagai agensi bertanggungjawab, Tourism Perak masa itu juga mengambil berat isu-isu berhubung pengusaha industri.
"Menerusi persefahaman inilah kita bersama-sama merancang apa yang perlu dilakukan apabila semua pihak tahu dan fokus pada bidang masing-masing," ujarnya.
Tahun lalu Perak merekodkan kehadiran kira-kira tujuh juta pelancong dari dalam dan luar selepas memasuki fasa endemik.
Ekopelancongan merupakan tarikan utama di Perak kerana ia mempunyai banyak produk-produk pelancongan yang berkait rapat dengan alam semulajadi. - DagangNews.com