Takaful IKHLAS raikan Ramadan, Aidilfitri bersama 200 keluarga mualaf | DagangNews Skip to main content

Takaful IKHLAS raikan Ramadan, Aidilfitri bersama 200 keluarga mualaf

Sukarelawan daripada Takaful IKHLAS bergambar kenangan bersama Zaharudin Daud, Dato’ Rodzila Che Lamin, Muhammad Fikri Mohamad Rawi dan Prof. Dr. Nazirah Hassan pada Program Bubur Lambuk bersama Takaful IKHLAS di Surau Ad-Deeniah, PPUM, Kuala Lumpur.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 29 April  – Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB), telah menyuntik keceriaan kepada 200 keluarga mualaf yang terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka melalui program IKHLAS Barakah Box bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

 

IKHLAS Barakah Box ini merupakan program pengagihan sumbangan bekalan makanan kepada komuniti yang memerlukan dan ia adalah program hasil usahasama di antara Takaful IKHLAS dan Persatuan Inspirasi Mualaf.

 

Program IKHLAS Barakah Box ini juga adalah satu daripada aktiviti dibawah IKHLAS Barakah House yang merupakan satu inisiatif pengumpulan dana patuh syariah oleh Takaful IKHLAS bertujuan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif.

 

Program itu dilaksanakan melalui bantuan kewangan dan aktiviti-aktiviti yang merangkumi penglibatan masyarakat dengan 5 fokus utama iaitu pemerkasaan bidang pendidikan, ekonomi, masyarakat, kesihatan dan juga alam sekitar.

 

Takaful IKHLAS juga baru-baru ini telah turut berkongsi rezeki dengan petugas-petugas barisan hadapan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan juga orang awam melalui penyediaan dan pengagihan lebih 2,500 bungkusan bubur lambuk bagi memeriahkan lagi sambutan bulan Ramadan mereka.

 

 

takaful
Zaharudin Daud menyerahkan sumbangan bubur lambuk kepada Prof. Dr. Nazirah Hassan pada Program Bubur Lambuk bersama Takaful IKHLAS.
 

 

Penyerahan sumbangan bubur lambuk tersebut telah disempurnakan oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad, Zaharudin Daud bersama Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Nazirah Hassan.

 

Sesi penyerahan bubur lambuk kepada barisan petugas hadapan PPUM juga turut dilakukan oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Dato’ Rodzila Che Lamin, dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad, Muhammad Fikri Mohamad Rawi.

 

 

takaful
Dari kiri, Muhammad Fikri Mohamad Rawi; Prof. Dr. Nazirah Hassanah; Zaharudin Daud dan Dato’ Rodzila Che Lamin menyediakan juadah Bubur Lambuk untuk diagihkan bersempena Program Bubur Lambuk bersama Takaful IKHLAS.
 

 

Aktiviti pengagihan bubur lambuk ini merupakan satu daripada cara Takaful IKHLAS menghargai mereka yang telah bekerja keras setiap hari untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan para pesakit.

 

Takaful IKHLAS juga telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membantu menjayakan program-program yang dianjurkan oleh Masjid tersebut sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini. – DagangNews.com